Zaman BN tol tak pernah kurang, najib cerminlah diri
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menempelak sikap pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengkritik dasar pengurangan kadar tol seperti yang dilaksanakan Pakatan Harapan (HARAPAN) baru-baru ini.
Tegasnya, disebalik kritikan itu, BN sendiri sudah lupa bahawa mereka tidak pernah melaksanakan dasar pengurangan kadar tol.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, berkata, konsensi tol pernah dilanjutkan sebelum ini ketika era pemerintahan BN – iaitu dari 2018 kepada 2038 – tetapi tidak diiringi dengan pengurangan kadar tol
“Sebaliknya kadar tol sama ada dikekalkan atau dinaikkan, tetapi kali ini kita kurangkan sebanyak 18 peratus sepanjang tempoh konsesi,” katanya dipetik laporan yang disiar Malaysiakini.
Katanya, langkah kerajaan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus di lebuh raya bawah Plus adalah agak “signifikan”.
“Jadi buat mereka yang tak pernah kurangkan kadar tol, bukan tempat mereka untuk kritik kami.
“Cermin diri sendiri. Kami harap rakyat akan faham perbezaan dasar (dulu dan sekarang),” katanya.
Kenyataan Lim itu dipercayai merujuk kepada kritikan bekas Perdana Menteri, Najib Razak termasuk di Twitter, dimana Ahli Parlimen Pekan itu berkongsi imej manifesto berkenaan pemansuhan tol secara berperingkat, tetapi menggantikan perkataan “hapuskan (tol)” kepada “lanjutkan”.
“Orang tanya mengapa tak mansuh saja tol? Cakap senang, tetapi jika bukan kerana 1MDB, tidak akan ada masalah.
“Kita tanggung RM150 bilion kerugian kerana 1MDB tetapi hanya dapat ambil semula RM47 bilion. Untuk mansuh konsesi tol, kita perlukan RM45 bilion. Di mana nak dapat wang apabila RM150 bilion dicuri dalam skandal 1MDB?,” soalnya sambil menegaskan HARAPAN berusaha untuk memansuhkan tol tetapi pada masa ini akan cuba mengurangkan kadarnya kepada minimum. –