Sumpah laknat tiada dalam perundangan Islam
Sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai “li’an”.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad, ucapan li’an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi.
Penjelasan oleh Zulkifli dibuat susulan tindakan bekas perdana menteri Najib Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru bagi menafikan pembabitannya dalam pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya membuat dakwaan mengejutkan melalui Sumpah Berkanun (SD) dari Penjara Kajang.
Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menter) dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.
Selain itu, Zukifi yang merujuk Istilah “mubahalah” (saling laknat melaknati) yang disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat ke-61 pula tidak merujuk kepada perundangan Islam.
“Sebaliknya ia (mubahalah) dikategorikan dalam sumpah membabitkan perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah palsu.
“Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes masih berjalan di mahkamah.
“Bahkan proses keadilan di mahkamah, tidak eksklusif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim,” katanya lagi.
Zulkifli juga berkata, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh ‘qadhi’ atau hakim.
“Justeru, kami berpendapat mahkamah adalah tempat yang lebih sesuai dan tepat untuk melakukan sumpah, jika diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Mufti Wilayan itu turut mengkritik tindakan manipulasi masjid bagi melakukan sumpah itu.
“Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) wajar mewujudkan dan menguatkuasakan apa-apa peraturan yang melarang apa-apa majlis yang berkaitan dengan sumpah atau sumpah laknat yang melibatkan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, bagi mengelakkan institusi masjid dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya lagi.