Bursa Amerika Syarikat pula dakwa Najib terima sogokan
Najib Razak dinamakan sebagai penerima wang sogokan daripada bon 1MDB yang diraih Goldman Sachs melibatkan bekas eksekutifnya, Tim Leissner.
Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) berkata demikan dalam ‘cease and desist order’ bagi prosiding terhadap Leissner, selepas dia membuat tawaran penyelesaian bagi pertuduhan terhadapnya, yang termasuk penggantungan kekal dalam industri sekuriti.
Dalam perincian latar belakang kes itu, SEC berkata Leissner membantu meraih bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB dengan preteks menyokong projek yang memberi manfaat keada rakyat Malaysia.
“Leissner dan yang lain sebaliknya merancang dan melakukan skim untuk menyeleweng lebih AS$2.7 bilion dan mengagihkan wang itu sebagai rasuah dan sogokan kepada pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi, termasuk tetapi tidak terhad kepada Najib serta beberapa individu yang terlibat dalam skim itu dan keluarga mereka, termasuk Leissner,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
SEC berkata Leissner terutamanya tahu yang Najib akan mendapat manfaat daripada terbitan bon yang dibuat pada 2012, digelar sebagai “Projek Maximus”.
“Leissner pada masa itu juga tahu bahawa Najib dan pegawai kerajaan Abu Dhabi dan pegawai 1MDB akan menerima wang daripada apa yang diperolehi Projek Maximus, yang disalurkan menerusi pelbagai syarikat cengkerang yang secara benifisialnya dimiliki dan dikawal dirinya, Jho Low dan orang lain.”
SEC turut dilapor berkata, seorang anggota keluarga dekat Najib turut menerima wang yang diselewengkan itu.
Jho Low kini diburu pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat atas dakwaan urus niaga jenayah membabitkan 1MDB.
Projek Maximus melibatkan bon kedua yang diterbitkan 1MDB pada 2012, ketika fasa Aabar BVI, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa Najib menerima AS$30 juta ketika fasa ini.
Najib kemudian didakwa menerima tambahan AS$681 juta yang diselewengkan daripada 1MDB, ketika fasa Tanore pada 2013.
Bagaimanapun, SEC berkata selepas Projek Catalyze berakhir, ada transaksi tambahan yang membawa kepada sogokan termasuk “pemindahan kira-kira AS1.3 juta kepada akaun seorang tukang barang kemas New York untuk membayar barang kemas bagi pasangan Najib.”
Laporan itu merujuk kepada 27 utas rantai dan gelang emas 18-carat yang didakwa dibeli Low untuk Rosmah Mansor.