Bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein sah sudah diberikan surat tunjuk sebab berhubung pertemuannya bersama sekumpulan Ahli Parlimen UMNO dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Apandi Ali mengesahkan perkara tersebut.
Beliau dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab itu sebelum 26 Disember ini.
Bekas Menteri Pertahanan itu didakwa melakukan kesalahan berkaitan “tidak mengikut perintah parti, tidak menjalankan dasar parti, serta tidak menjaga nama baik dan maruah parti” berikutan pertemuan yang dikatakan diketuainya dengan Azmin itu.
Ketegasan UMNO dalam hal ini bolehlah diberi pujian, meskipun kesalahan Hishammuddin tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan salah laku Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin terhadap PKR.
Berbanding Hishammuddin yang diberikan surat tunjuk sebab kerana mengadakan pertemuan dengan pihak lawan tanpa kebenaran parti, Azmin sebaliknya telah menerima sekumpulan musuh datang ke rumahnya, juga tanpa pengetahuan PKR dan PH, malah menawarkan projek puluhan juta kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu.
Siapakah yang lebih besar salah lakunya?
Lebih daripada itu, Azmin bersama Zuraida juga telah secara terbuka mengkritik, mencerca dan menghina Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dalam majlis jamuan Wawasan Kemakmuran Bersama di Hotel Renaissance pada 8 Disember lalu.
Sebelum itu, kedua-dua pemimpin tersebut turut kerap kali mengeluarkan kenyataan media mengkritik Anwar dan PKR serta secara sengaja tidak hadir mesyuarat parti selama lebih setahun lamanya.
Bila lagi Lembaga Disiplin mahu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Azmin dan Zuraida? (ShahbudinHusin 16/12/2019)