JAWATAN PM BUKAN HARTA PERIBADI TUN M, BUANG MASA SAJA UNTUK SESIAPA, SELAIN ANWAR BAKAL PM8



Sebelum ini, saya sudah dua tiga kali menulis menyentuh tentang perbezaan antara BN dan PH berhubung perlantikan Perdana Menteri.

Dalam BN, siapa yang menjadi Presiden UMNO, maka dialah yang akan menduduki kerusi Perdana Menteri.

Presiden UMNO yang menjadi Perdana Menteri pula boleh mengatur dan menentukan siapa yang dikehendakinya untuk menjadi penggantinya.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi tujuan itu seperti memberi jawatan kanan dalam kerajaan atau menyokong calon tertentu yang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Bahkan, ketika tidak lagi menghendaki Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO untuk menggantikannya, Perdana Menteri, melalui cengkaman kuasa yang dimilikinya dalam kerajaan, turut boleh memecat bakal penggantinya dengan pelbagai hujah serta alasan.

Begitulah besar dan berpusatnya kuasa seorang Perdana Menteri di era BN. 

Itu belum dikira lagi kuasa untuk memperkayakan diri sendiri, keluarga, anak-anak dan kroni.

Walaupun berkuasa atas nama BN, tapi penentuan Perdana Menteri ditentukan hanya dalam kelambu UMNO. BN sekadar “rubber stamp” untuk diberi maklum saja.

Tetapi, PH berbeza dengan BN di mana penentuan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri akan diputuskan oleh Majlis Presiden yang dianggotai oleh pemimpin-pemimpin kanan parti yang bergabung di bawahnya.

Kedudukan Tun Mahathir Mohamad dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah diputuskan oleh Majlis Presiden sebelum PRU14 lagi dan ia disah serta diumumkan secara rasmi dalam Kongres PH yang diadakan pada 7 Januari 2018, empat bulan sebelum PRU14.

Bersekali dengan itu, turut diputuskan ialah kedudukan Anwar Ibrahim sebagai bakal pengganti kepada Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.

Selagi Majlis Presiden PH tidak membuat apa-apa perubahan atau mengubah keputusan itu, kedudukan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 adalah kekal dan tidak boleh dibantah.

Bermakna, tanpa mengubah keputusan dan konsensus Majlis Presiden PH itu, bukan saja Tun Mahathir tidak boleh melantik orang lain selain Anwar sebagai penggantinya, malah buang masa saja bagi sesiapa yang lain untuk berangan-angan menjadi Perdana Menteri ke-8.

Lebih daripada itu, ini bermakna dalam era PH berkuasa, penentuan siapa akan menjadi Perdana Menteri adalah ditentukan secara bersama oleh gabungan parti pemerintah itu, bukan lagi oleh siapa yang duduk di kerusi empuk Perdana Menteri.

Ia tidak seperti dalam BN dahulu di mana jawatan Perdana Menteri seolah-olah harta peribadi yang boleh diserah atau dihadiahkan kepada sesiapa yang disukai oleh seseorang yang menjadi Perdana Menteri dan boleh dielakkan atau ditarik balik daripada mereka yang tidak disukai.

Lantaran ini, saya jadi tergelak, mungkin berdasarkan perkembangan politik dalam sehari dua ini, ada yang berkata Tun Mahathir kononnya memang tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, tetapi mahu menghadiahkannya kepada Hishammuddin Hussein.

Ternampak daif sangat pandangan sedemikian rupa kerana untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada orang lain dalam PH selain Anwar yang sudah dipersetujui pun, jika tanpa persetujuan Majlis Presiden, tidak mungkin dapat dilakukan oleh Tun Mahathir, apa lagi untuk menyerahkannya kepada pemimpin pembangkang daripada UMNO.

Yang menang pilihanraya adalah PH, jadi mana mungkin tiba-tiba jawatan Perdana Menteri mahu dikembalikan kepada BN.

Lagi pun, jika Tun Mahathir boleh menyerahkan jawatan Perdana Menteri macam dulu-dulu, buat apa diserahkannya kepada Hishammuddin yang merupakan sepupu Najib Razak.



Lebih baik diserahkan saja kepada anaknya sendiri, Mukhriz!! (ShahbudinHusin 20/11/2019)