ELOKLAH DIGUGURKAN, KALAU DIJEMPUT PUN MUNGKIN AZMIN TAK DATANG



Kongres Pemuda PKR pada 6 Disember depan sah tidak menjemput Timbalan Presiden, Azmin Ali untuk merasmikannya.

Sebaliknya, perasmian kongres itu akan dilakukan oleh Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Walaupun secara tradisinya Timbalan Presiden PKR biasanya akan merasmikan Kongres Pemuda atau AMK, tetapi keputusan berbeza kali ini dipercayai kerana sikap Azmin yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti, malah tidak pernah hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik sejak setahun yang lalu.

“AMK bertanggungjawab memberi mesej yang jelas kepada seluruh anggota PKR bahawa AMK akan kekal teguh mendokong kepimpinan parti yang sekali gus memelihara tradisi perjuangan PKR,” kata Ketua AMK, Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru ketika menpertahankan keputusan menggugurkan Azmin itu.

Blog ini dalam artikel pada 1 November lalu telah menulis bahawa Azmin, disebabkan sikapnya yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan, terbuka menyanggah pemimpin sendiri, tetapi memuja pemimpin parti lain, selain tidak hadir mesyuarat sejak setahun yang lalu, beliau pada hakikatnya telah hilang kelayakan untuk merasmikan kongres sayap parti itu.

Sebagai pemimpin nombor dua dalam parti, Azmin seharusnya menyokong kepimpinan sedia ada dan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada parti yang telah memilihnya sebagai pemimpin serta merupakan tapak untuknya menjawat jawatan menteri dalam kerajaan.

Walaupun ada bantahan, pendirian Pemuda PKR tidak menjemput Azmin ini adalah tepat dan harus diberikan pujian.

Ini kerana, jika dijemput sekali pun untuk merasmikannya, Azmin mungkin lebih menggunakan ruang yang ada itu untuk menegakkan benang basah berkaitan perihal dirinya yang banyak onar selama ini berbanding menggariskan tentang perjuangan PKR itu sendiri.

Lebih buruk lagi, kalau di saat-saat akhir nanti, beliau tiba-tiba tidak menghadirkan diri tanpa memberikan sebarang alasan.

Jika itu berlaku, bukankah semua orang akan susah jadinya nanti?

Kalau hadir mesyuarat boleh diabaikannya begitu saja selama setahun, apalah sangat merasmikan kongres yang cuma setahun sekali.

Sebagai pemimpin nombor dua dalam PKR juga, Azmin harus sedar bahawa dosa paling besar dilakukannya ialah mengabaikan tanggungjawab dengan tidak hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik sejak setahun yang lalu.

Kalau sibuk dengan tugas sebagai menteri merupakan alasannya tidak hadir itu, apakah hanya beliau seorang saja yang sibuk di negara ini?

Jika pemimpin lain yang juga berjawatan menteri boleh hadir mesyuarat parti, malah Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pun sentiasa dapat menghadirkan diri dalam mesyuarat Bersatu serta PH, di mana logiknya Azmin tidak ada kelapangan masa sama sekali?

Maka, dengan tidak hadir mesyuarat selama setahun lalu itu, Azmin selain mengabaikan tanggungjawabnya yang sekaligus hilang kelayakan untuk merasmikan kongres sayap parti, beliau juga telah tertinggal banyak perkara mengenai perjuangan PKR itu sendiri.

Barangkali senikata lagu PKR pun sekarang ini sudah terhapus daripada memorinya.

Pada tahun depan, Azmin masih boleh dijemput semula untuk merasmikan Kongres Pemuda PKR dengan syarat beliau sedia berubah, taat kepada pucuk pimpinan serta tidak sesuka hati lagi ponteng mesyuarat MPP dan Biro Politik PKR.

Tapi, kalau perangai tetap sama, nasib yang diterimanya tahun depan pun akan sama juga. (ShahbudinHusin 13/11/2019)