Pas baru-baru ini menggesa kerajaan agar mengharamkan DAP kerana menganggap parti itu merbahaya kepada negara.
Beberapa persoalan segera bermain-main di kepala sebaik saja gesaan itu terpapar di dada-dada media.
Pertama, Pas adalah parti pembangkang dan DAP merupakan parti yang membentuk serta menguasai kerajaan PH sekarang ini.
Tidakkah pelik bila parti pembangkang menggesa kerajaan mengharamkan sebuah parti yang sedang berada dalam kerajaan?
Siapa mahu dengar gesaan dan hujah Pas mengenai logik DAP patut diharamkan itu?
Sedarkah Pas akan hakikat tersebut atau mentang-mentang sekarang parti itu menyokong setengah mati agar Tun Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri hingga tamat penggal, maka parti itu merasakan cakapnya mesti didengari oleh Perdana Menteri?
Antara DAP bersama lain-lain parti dalam PH yang telah meletakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri berbanding Pas yang hanya sekarang membodek Tun Mahathir, sedangkan sebelum ini mengata Pengerusi PH itu macam-macam seperti sudah tua, patut berada di atas sejadah, nyanyuk dan sekadar layak jadi doktor di klinik 1Malaysia, agaknya cakap siapakah yang lebih Tun Mahathir dengari?
Kedua, bagaimana rupa wajah sebenar Pas bila ditakdirkan mereka ada kuasa nanti?
Adakah dengan gesaan mengharamkan DAP itu, bukan saja DAP, tetapi semua parti yang tidak sebulu drngannya, akan diharamkannya begitu saja bila ia ada ditaddirkan ada kuasa?
Kalau semasa jadi pembangkang pun ghairah nak mengharamkan parti lain, bayangkan bila ada kuasa dalam tangan?
Jangan-jangan semua parti akan diharamkan begitu saja, hanya parti mereka saja yang boleh terus wujud dan menjadi “raja”?
Ketiga, antara DAP dan Pas, mana yang lebih bahaya?
Siapakah yang lebih mengancam dan membawa bahaya kepada umat Islam dengan pendirian yang berbeza mengenai banyak perkara, tetapi menggunakan nama agama untuk mewajarkannya?
Parti manakah yang lebih banyak membawa kekeliruan, menanam kebencian dan permusuhan seperti melabel kafir kepada sesama muslim hanya kerana perbezaan politik?
Tidakkah Pas lupa semasa berkawan dengan DAP dulu, pujian melangit pernah diberikan kepada parti tersebut dan digambarkan bekerjasama dengannya adalah sesuatu yang dibenarkan oleh agama?
Ketika itu, UMNO dimusuhi, dianggap assabiyah dan kafir, tetapi setelah berpeluk cium dengan UMNO, parti itu tiba-tiba jadi wangi dan suci, manakala semua salah dalam negara adalah DAP belaka.
Berdasarkan banyak contoh dan kejadian di depan mata, siapakah yang lebih bahaya sebenarnya?
Untuk memberi keamanan dan mengelakkan perpecahan di kalangan orang Melayu dan Islam yang merupakan penduduk majoriti negara, DAP atau Pas yang sepatutnya tiada di Malaysia ini? (ShahbudinHusin 28/10/201