Kementerian Kewangan menyambut baik kesediaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menghentikan caj transaksi yang dikenakan bagi penggunaan cek dan bayaran tunai untuk pembayaran kad kredit serta pembiayaan melalui kaunter dan mesin deposit tunai (CDM).
Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tindakan ABM menerima baik saranan kementeriannya serta orang ramai berhubung caj berkenaan wajar diberikan pujian.
“Caj urus niaga tersebut mula dikenakan pada Disember 2017 bawah pentadbiran kerajaan terdahulu bagi mempromosikan peralihan kepada e-pembayaran.
“Namun, caj tersebut membebankan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kekurangan akses kepada internet untuk menjalankan perbankan atas talian, dan secara mudah alih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Penghentian caj yang berkuatkuasa semalam itu, kata Guan Eng menunjukkan komitmen bank komersial untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menggunakan teknologi terkini tanpa membawa bebanan kewangan.
“Pada masa yang sama, ABM menunjukkan bahawa mereka tidak obses dengan mengaut keuntungan daripada yuran dan caj tersebut dengan memansuhkannya untuk kali pertama sejak diperkenalkan pada tahun 2017,”
katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.
katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.
Semalam, 26 bank di bawah ABM bersetuju untuk menghentikan caj 50 sen bagi mesin pengeluaran tunai (CRM) dan mesin deposit cek (CQM) dan RM2 bagi bayaran transaksi di kaunter.