Calon setanding Dr Rafik boleh menang di Tanjung Piai – PKR
Mantan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik disifatkan telah meletak satu aras yang tinggi di kalangan pemimpin muda.
Justeru, Pakatan Harapan (HARAPAN) wajar meletakkan calon yang setanding atau lebih baik berbanding bekas Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang meninggal dunia pada 21 September lalu, kata Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.
“Arwah sudah letak aras yang tinggi jadi calon untuk HARAPAN kena cari orang yang mesra rakyat dan sedia berkhidmat dan kalau boleh golongan muda serta calon tempatan yang boleh faham isu rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Jimmy berkata PKR Johor bakal memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada calon HARAPAN yang bakal dinamakan nanti.
Ia tegasnya penting untuk kerusi parlimen itu terus dipertahankan dibawah HARAPAN.
“Saya tidak tahu siapa yang akan mengisi kerusi itu sehingga HARAPAN bermesyuarat. Tunggu apa akan berlaku dan siapa juga yang akan mengisi kerusi itu dari mana-mana parti, kita sedia membantu.
“Saya tidak mahu cakap sama ada ada keyakinan atau tidak untuk menang kerana itu terletak kepada pengundi dan calon. Lagipun calon pun tidak ada lagi dan terlalu awal tetapi yang penting kita kena buktikan kepada rakyat kita bersedia untuk bekerja dan tunjuk laporan prestasi kita selama setahun,” katanya lagi.
Difahamkan, mesyuarat bersama semua pemimpin HARAPAN Johor bagi menamakan calon bagi kerusi itu akan diketuai Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin bakal berlangsung pada Jumaat di Pagoh.
Puah menyifatkan Ahli Parlimen Tanjung Piai Md Farid Md Rafik telah meletakkan satu aras yang tinggi memandangkan beliau seorang profesional muda, justeru calon yang akan bertanding nanti harus setanding dengan calon sebelumnya..