Pegawai Khas Najib akui pertemuan sulit dengan Jho Low
Biarpun sebelum ini bekas PM Najib Razak berkali-kali menafikan kenal Jho Low atau usahawan Cina itu menguruskan kewangannya, bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mengakui di Mahkamah Tinggi semalam pertemuan kerap dilakukan antara beliau dan Jho Low.
Katanya pertemuan sulit itu bagi urusan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Perjumpaan kami selalunya berlaku pada waktu malam di Prince Hotel Kuala Lumpur. Kerap kali pada malam perjumpaan kami, Jho akan ke rumah Najib dahulu di Jalan Langgak Duta untuk berbincang dan mendapat pengesahan dokumen-dokumen yang akan dibincangkan dengan kami. Perkara ini kami tahu kerana Jho yang maklumkan sendiri kepada kami.
“Kerap kali, Jho akan email dahulu dokumen yang akan dibincangkan sebelum perjumpaan diadakan. Namun setiap kali perjumpaan, Jho akan membawa sendiri salinan-salinan yang diperlukan untuk pertemuan sulit kami,” kata bekas pegawai khas kepada Najib Razak itu.
Selain Amhari, Datuk Azlin Alias (ketika itu bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib) juga pernah berjumpa ahli perniagaan dalam buruan itu.
Saksi pendakwan kelapan itu juga berkata, mereka akan diiringi (escort) oleh pengawal peribadi Jho Low ke bilik hotel sejurus sampai di lobi. Mereka kemudiannya akan ‘dikuarantinkan’ sewaktu menunggu Jho Low biasanya dalam bilik suite yang mempunyai bilik, meja makan dan sofa.
“Kami biasanya menunggu 30 minit sehingga satu jam. Walaupun kami kerap kali berjumpa di Hotel Prince tetapi perjumpaan tersebut berlaku di bilik yang berlainan setiap kali diadakan.
“Setibanya di bilik pertemuan, biasanya kami bermula dengan cakap-cakap kosong dan Jho akan mengedarkan dokumen kepada kami dengan susunan yang teratur bagi tujuan perbincangan,” katanya semasa membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.
Memetik laporan Malaysiakini, Amhari juga difahamkan berkata, Najib sendiri tidak pernah mengarahkan beliau dan Datuk Azlin berjumpa Jho Low bagi pertemuan. Namun beliau (Najib) telah menggunakan Jho Low untuk mengarahkan mereka.
Tambahnya beliau juga tahu apa yang diarahkan oleh Jho Low adalah apa yang telah dipersetujui oleh Najib yang mengesahkan tentang arahan-arahan yang diterima berdasarkan dokumen-dokumen yang Jho Low bekalkan kepada kami berdua.
“Datuk Seri Najib pada kebanyakan masanya tidak mempersoalkan arahan-arahan tersebut dan akan bersetuju untuk tindakan-tindakan lanjut dilaksanakan,” jelasnya.
Saksi tersebut juga mendedahkan, selepas beberapa ketika isu 1MDB dibangkitkan kepada umum, Jho Lor sering meletakkan password dalam setiap email dikirim kepada mereka.
“Selepas isu 1MDB banyak diperkatakan oleh umum, Jho kerap kali meletakkan password pada setiap dokumen yang dilampirkan pada email beliau. Password tersebut akan dimaklumkan kepada saya dan Datuk Azlin melalui mesej BBM,” tambahnya lagi. – RF8 Media