PETALING JAYA: Pemimpin DAP P Ramasamy hari ini membidas Zuraida Kamaruddin kerana menggesa beliau dan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain supaya melupuskan “mentaliti pembangkang” mereka selepas 2 pemimpin itu dikatakan mempersoal kepimpinan perdana menteri.
Terdahulu minggu ini, Dr Mahathir Mohamad berkata, “tidak ada tempat” bagi Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam Kabinet beliau pada masa ini kerana tidak ada menteri yang membayangkan mereka mahu berundur.
Ini menyebabkan Ramasamy meminta pimpinan PH menghormati perjanjian peralihan kuasa yang dibuat sebelum pilihan raya umum Mei tahun lepas.
Dalam pada itu, seorang lagi pemimpin DAP, iaitu ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Anwar sepatutnya diberikan peluang.
Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan Zuraida menegur 2 pemimpin itu.
“Saya cadangkan semua pemimpin PH melupuskan “mentaliti pembangkang” yang diamalkan sejak sekian lama,” kata naib presiden PKR itu seperti dilaporkan portal berita tersebut.
Ramasamy bagaimanapun menafikan mempersoal kepimpinan Mahathir dengan berkata, beliau juga menyifatkan kepimpinan perdana menteri itu berperanan penting dalam kemenangan bersejarah PH mengalahkan Barisan Nasional (BN) tahun lepas.
“Sama ada Zuraida membaca pantas artikel kami atau salah memahami kandungannya atau kedua-duanya sekali.
“Saya tidak fikir saya mempersoalkan Mahathir, begitu juga Santiago,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru kata beliau, Zuraida tidak perlu bertindak mempertahankan Mahathir.
“Bagaimanapun jika Zuraida mahu pemimpin PH menjadi pengampu, elok cakap sahaja.
“Beliau tidak perlu berdolak-dalik.”