Kes SRC: Najib tidak nafikan tandatangan transaksi bank
Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak yang dituduh menerima RM40 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan SRC International Sdn Bhd semakin meyakinkan apabila pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain berkata Najib tidak menafikan tandatangannya pada dokumen akaun dan transaksi bank.
Pegawai penyiasat SPRM itu berkata di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tandatangan Najib tertera pada dokumen, termasuklah surat arahan meluluskan transaksi bernilai berjuta ringgit bagi akaun peribadi AmBank.
“Kesemua dokumen yang ditunjukkan pada Najib (semasa disoal siasat SPRM) dan beliau mengesahkan tandatangan adalah miliknya. Beliau tak nafikan,” kata Rosli dipetik TMI.
Tambahnya, bekas perdana menteri itu disoal siasat tiga kali iaitu pada 5 Disember 2015 serta 22 Mei dan 24 Mei 2018.
Sebelum ini para peguam Najib cuba memberi gambaran kepada mahkamah CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil memalsukan tandatangan Najib untuk menipu entiti berkaitan kerajaan itu.
Peguam juga mengemukakan teori ahli perniagaan Jho Low menguruskan akaun Najib, seolah-olah bekas PM itu tidak mengetahui secara terperinci transaksi yang berlaku dalam akaunnya.
Bagaimanapun, ketua pasukan peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah kemudian membantah dan berkata keterangan Rosli adalah keterangan dengar cakap tidak boleh diterima.
“Kami mahu ia direkodkan bahawa apa yang dikatakan oleh saksi adalah keterangan dengar cakap,” Shafee memberitahu mahkamah yang dipengerusikan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – RF8 Media