Fitnah Chin Tong pakai seragam komunis: Azwanddin mohon maaf
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah membuat permohonan maaf secara rasmi di Mahkamah Tinggi bagi penyelesaian luar mahkamah terhadap saman malu Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Ching Tong.
Tuntutan saman itu dibuat Chin Tong selepas Azwanddin dalam beberapa artikelnya menuduh beliau memakai serangam berunsur komunis ketika melaksanakan tugas rasmi. Sedangkan pakaian tersebut merupakan seragam korporat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Semalam mahkamah memutuskan Azwanddin, Presiden NGO pro Umno perlu membayar Chin Tong sebanyak RM40,000 dan mengeluarkan permohonan maaf terbuka dalam masa 14 hari di portal berita, antaranya Malaysiakini, Free Malaysia Today, The Star Online, Utusan Online serta di laman Facebook JMM dan laman sosial peribadinya sendiri.
Pada tahun lalu, presiden JMM itu membuat hantaran di Twitter menuduh Liew ‘biadap’ kerana memakai seragam komunis ketika memeriksa perbarisan ATM.
“Hari ini dengan sengaja timbalan menteri pertahanan berpakaian seragam komunis di hadapan tentera Melayu. Ini sikap kurang ajar,” ciap Azwanddin yang disertai gambar Liew memeriksa perbarisan.
Susulan itu, Kementerian Pertahanan tampil menegaskan kenyataan tersebut suatu penghinaan terhadap pasukan keselamatan.
Difahamkan, seragam mirip dipakai Liew itu turut pernah digunakan bekas perdana menteri, Najib Razak dan menteri kabinetnya pada perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan beberapa tahun lalu.
Terdahulu pada Disember, Liew memfailkan saman terhadap Azwanddin selepas Azwanddi enggan memohon maaf terhadap tuduhan yang dibuat dua bulan sebelumnya.
Persetujuan luar mahkamah semalam dibuat di depan hakim Azimah Omar. – RF8 Media