DI MANA HAZIQ




KENAPA SEHINGGA KINI HAZIQ MASIH BELUM DIDAKWA?

Sejak lebih seminggu kebelakangan ini, perbualan dalam negara nampaknya lebih terisi dengan isu kedudukan atau tempoh masa jawatan Perdana Menteri.
Sehingga kita kadang-kadang teralpa dengan isu lain yang tidak kurang pentingnya untuk turut sama diketahui apa kesudahannya.
Sebelum ini isu paling hangat diperkatakan ialah berkenaan penyebaran video seks sejenis yang didakwa melibatkan seorang menteri.
Haziq Abdullah Abdul Aziz secara terbuka mengaku beliau adalah lelaki dalam video tersebut sambil mendakwa pasangannya ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Sementara Azmin menyifatkan penyebaran video itu sebagai cubaan membunuh karier politiknya, Haziq sebaliknya telah ditahan reman selama 10 hari oleh pihak pihak polis atas pengakuannya itu dan dipecat sebagai Setiausaha Sulit Kanan di pejabat Timbalan Menteri Industri Utama.
Turut ditahan ialah Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan beberapa lelaki lain untuk disiasat berhubung penyebaran video berkenaan.
Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengumumkan bahawa berdasarkan analisa Cyber Security, video seks sejenis itu disahkan tulen, namun pelakunya gagal dikenalpasti.
Tetapi, selepas Haziq dan Farhash dibebaskan daripada tahanan reman pada 23 Julai ini, sehingga kini masih tidak terdengar sebarang perkembangan mengenai kes tersebut.
Apa sudah jadi sebenarnya hasil siasatan polis berhubung kes itu?
Adakah Haziq dan Farhash akan didakwa serta kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara?
Atau semua yang pernah disiasat dan ditahan reman akan dilepaskan begitu saja?
Kenapa senyap saja dan masih tiada apa-apa pengumuman daripada pihak berkuasa sehingga ini?
Kalau kes-kes yang rumit pun selalunya pihak polis negara kita selalu cekap dalam menjalankan tugasnya, mengapakah dalam kes ini terlihat begitu lembab, sedangkan pengakuan Haziq sudah pun ada sebagai asasnya?
Apakah oleh kerana kes ini turut melibatkan seorang menteri kesayangan Perdana Menteri, maka semuanya akan tersimpan dalam fail saja buat selama-lamanya?
Benarkan seperti tanggapan umum bahawa Haziq juga tidak mungkin akan didakwa demi untuk mengelakkan kebenaran akan terdedah ketika perbicaraan di mahkamah nanti?
Sekarang ini Malaysia Baru atau masih Malaysia Lama? (Shahbudindotcom 04/08/2019)