4,000 pencemar, sungai Malaysia hasilkan ‘ikan gay’
Sungai Malaysia hadapi gangguan pencemaran baharu yang memungkinkan genetik ikan berubah dan merosakkan sistem badan manusia yang memakannya
Pakar hidro kimia Profesor Ahmad Zaharin Aris memberi amaran, pencemar yang dikenali sebagai “pengacau endokrin” (EDC) menjadikan ikan di sungai Malaysia “gay” dan “transeksual” dengan mengubah hormon mereka serta memberikan kesan kepada jantina.
Menurut penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu lagi bahan kimia yang mengganggu sistem endokrin manusia sudahpun wujud dalam air minuman di Malaysia dan sesetengah rantaian makanan, kata
Sebelum ini, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) menyatakan terdapat bukti yang semakin banyak bahawa manusia dan haiwan “menunjukkan kesan buruk kesihatan kerana pendedahan kepada bahan kimia persekitaran yang berinteraksi dengan sistem endokrin”.
Kesan ini termasuklah peningkatan risiko mendapat kanser dan menyebabkan masalah sistem pembiakan dewasa dan kebantutan kanak-kanak, menurut EPA.
Sistem endokrin berperanan mengawal selia pengeluaran hormon dalam badan manusia yang memberi kesan kepada pertumbuhan, perkembangan dan pembiakan.
EDC juga terhasil daripada industri farmaseutikal dan kosmetik sebagai sisa dalam proses penghasilan barangan seperti deodoran, pencuci muka dan ubat-ubatan. Ia dibuang daripada pengguna yang menggunakan barangan tersebut.
Dalam kajian dibuat Fakulti Pengajian Alam Sekitar UPM di beberapa sumber bekalan air negara, menurut Zaharin, EDC didapati sudah menyebabkan perubahan jantina ikan.
“Ia mengubah kecenderungan seksual ikan dengan mengacau hormonnya supaya jantan tertarik kepada jantan dan betina kepada betina. Pendek kata, ikan gay dan lesbian.
“Ada juga ikan yang dilahirkan dengan organ pembiakan berlainan seperti ikan betina dengan organ betina dan sebaliknya. Jadi, bila kita makan terlalu banyak ikan ini ia boleh terkumpul dalam badan kita,” kata Zaharin dipetik The Malaysia Insight.
Perubahan jantina ikan dan kerang-kerangan ini disebabkan bahan aktif yang digunakan dalam penghasilan pil perancang kehamilan, katanya lagi.
SPAN sedang merancang pelan untuk menangani isu pencemaran sungai yang kerap berlaku sehingga menjejaskan bekalan air di Selangor dan menyebabkan lebih 6,000 jatuh sakit di Pasir Gudang, Johor.
Pakar air menyifatkan EDC sebagai satu bentuk “pencemar yang meningkat naik” kerana semakin kerap ditemui dalam alam sekitar.
Plastik mikro yang lebih halus daripada beras pula adalah satu lagi bentuk pencemar yang kerap ditemui.
Tidak seperti pencemar konvensional seperti logam berat, kesan pencemar baharu ini masih memerlukan kajian mendalam untuk diketahui dan diatasai, kata Zaharin.
Tambahnya, terdapat hampir 4,000 pencemar baharu tetapi hanya beberapa ratus sahaja dikenal pasti.
“Pengguna perlu lebih sedar tentang bahaya pencemar baharu ini dan mengurangkan hubungan dengannya.
“Misalnya, berhenti minum air daripada botol plastik tetapi minum daripada gelas atau bekas anda. Kita tak boleh hapuskan 100% risiko tetapi kita boleh kurangkan.
“Jika anda kerap makan ikan, anda perlu kurangkan. Seorang dewasa seberat 80kg hanya boleh makan dengan selamat sekilo ikan tetapi kanak-kanak tidak boleh sebanyak itu. Semua orang ada tahap penerimaan berbeza.” katanya. – RF8 Media