TERKINI : Khabar Angin Azmin Keluar Parti Tidak Melemahkan Parti – Saifuddin Nasution






KUALA LUMPUR – Khabar angin mengatakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar parti sejak tiga hari lalu tidak melemahkan PKR sebaliknya semakin menguatkan parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, walaupun parti dilanda pelbagai masalah dalaman, namun ia tidak menghentikan minat orang ramai untuk menyertai PRK.
“Apa pun masalah dianggap memberi kesan melemahkan parti kalau kegiatan parti terhenti, mesti ada indikatornya, khabar angin keluar, perbalahan sana sini, parti lemah, mesti ada indikatornya.
“Indikator pertama permohonan menjadi ahli parti mesti turun, daripada 10,000 menjadi 500 saja, adakah itu berlaku? Tidak.
“Sebab itu saya kata 5,000 hingga 10,000 kemasukan anggota baru itu konsisten (setiap minggu)
“Kedua, kegiatan parti di semua peringkat, terhenti atau tidak? Jawapannya tidak. Saya terus memenuhi jadual dan pimpinan lain pun macam biasa.
“Contohnya 28 Julai ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan memenuhi undangan dari Sarawak, kita ada majlis makan malam di sana.
“Sebelum itu akan ada pertemuan dan acara-acara parti, jadi kegiatan akan terus berjalan, tidak terhenti kerana khabar angin yang dikatakan melemahkan, tidak berlaku,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan  Parasaya AJ Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.
Sebelum ini tular di media sosial bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dikatakan keluar parti selepas imejnya terpalit dengan video seks songsang yang mirip wajahnya sejak 11 Jun lalu. – MalaysiaGazette