Minggu ini saja sudah dua kali Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan polis berkenaan video seks sejenis yang didakwa membabitkan Azmin Ali.
Kali pertama, pada 7 Julai, beliau memaklumkan siasatan kes itu sedang berjalan dan tiada tempoh tertentu ditetapkan untuk pihak polis menyelesaikannya.
“Kita tidak tetapkan tempoh tertentu dan pihak polis akan melakukan apa yang sepatutnya berhubung siasatan itu sebelum diserahkan kepada Ketua Polis Negara dan saya selaku Menteri Dalam Negeri untuk dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau.
Semalam, Muhyiddin sekali lagi bersuara mengenai siasatan kes itu dengan berkata, kenyataan Tun Mahathir tidak akan mempengaruhi pihak polis dalam menjalankan tugasnya.
Tun Mahathir sebelum ini mempertahankan Azmin berhubung dakwaan terlibat dalam hubungan seks sejenis sebagaimana terdapat dalam video tersebut dengan mengatakan ia sebagai palsu.
“Saya fikir itu adalah pandangan Perdana Menteri terhadap keseluruhan keadaan.
“Tetapi, saya memberi jaminan mereka (polis) akan bebas (dalam siasatan) kerana integriti kerajaan juga penting,” katanya.
Jelas dalam hal ini Muhyiddin begitu prihatin terhadap kebimbangan yang makin merebak di kalangan orangramai berhubung siasatan kes itu yang kini sudah memasuki tempoh kira-kira sebulan tanpa sebarang penyelesaian.
Bagi orangramai, kes itu tidak harus memakan masa yang lama untuk disiasat dan diselesaikan kerana ia adalah siasatan yang mudah dan “straightforward” dengan tidak perlu menyiasat ramai orang berkaitan dengannya.
Lagi pun, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengakui secara terbuka beliau adalah salah seorang lelaki dalam video tersebut sudah pun diambil keterangannya oleh pihak polis.
Begitu juga dengan Azmin yang didakwa Haziq sebagai pasangannya dalam hubungan seks sejenis itu.
Bermakna, selain kesimpulan sudah boleh dibuat berdasarkan keterangan yang diambil daripada kedua-duanya, perkara lain yang perlu dilakukan ialah mengesahkan ketulenan video itu.
Persoalannya, apakah untuk menentukan ketulenan video itu perlu memakan masa sampai sebulan?
Keprihatinan Muhyiddin dalam kes ini tentunya tidak lain kerana bimbangkan kesannya kepada kedudukan kerajaan di mata rakyat.
Sebagai Menteri Dalam Negeri, pendirian Muhyiddin adalah sesuatu yang wajar, bahkan harus dipuji.
Mahu tidak mahu, harus diakui jika siasatan ini memakan masa terlalu lama dan rakyat mula melihatnya sebagai percubaan untuk melengah-lengahkan keadaan, ia adalah suatu petanda yang buruk kepada kedudukan serta masa depan kerajaan.
Kerajaan akan dilihat ada agenda lain, sedangkan kebenaran, walau bagaimana pahit sekali pun, ia tetap kebenaran dan tidak harus diselindungkan.
Dengan Muhyiddin sudah sudah 2 kali bersuara sehingga ini, pihak polis sebenarnya tidak ada pilihan lain selain harus menyegerakan siasatan mereka seberapa cepat yang boleh.
Tulen atau tidak video tersebut dan sama ada salah seorang pelakunya adalah Azmin atau bukan, hasil siasatan mesti segera diumumkan.
Lagi lama disimpan, lagi buruk dan merudum imej kerajaan di mata umum.
Bersama pelbagai masalah yang sedang melanda negara ketika ini, isu video yang mengaitkan Azmin ini tidak harus menjadi satu lagi beban yang menyusahkan kerajaan dan Tun Mahathir untuk menanggungnya. (Shahbudindotcom 10/07/2019)