TUN M TAK BOLEH PAKAI….
Dalam mempertahankan Azmin Ali yang dikaitkan dengan perlakuan seks sejenis melalui penyebaran video yang belum diketahui puncanya, Tun Mahathir Mohamad melalui respon terbarunya antara lain berkata:-
⁃ Video ini dibuat dan diviral jelas untuk tujuan politik. Khusus untuk menghalang kejayaan politik individu tertentu.
⁃ Tindakan yang diharap menyusul tayangan ini ialah penyingkiran individu yang disasar.
⁃ Apabila saya ambil tindakan ini maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini.
⁃ Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk daripada mengintip.
⁃ Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna taktik kotor.
⁃ Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik.
Semua perkara di atas dijelaskan oleh Tun Mahathir dalam tulisan di blognya yang boleh difahami sebagai pendirian terbarunya berhubung isu video seks tersebut.
Jika kita masih ingat, di peringkat awal ketika video ini tersebar, Tun Mahathir dengan penuh yakin mengatakan ia adalah sebuah video palsu.
Kemudian beliau mengatakan ia adalah perancangan untuk menjatuhkan seseorang iaitu secara khusus yang dimaksudkannya ialah Azmin.
Kini, selain menyebut ia adalah bertujuan politik dan mahu menghalang kejayaan seseorang, Tun Mahathir juga menegaskan, ini bukan soal moral, tapi masalah politik.
Oleh itu, katanya ia akan ditangani sebagai isu politik.
Mungkin yang menyebarkan video ini bertujuan politik, tetapi perlakuan yang terpapar dalam video itu adalah 100 peratus berkaitan masalah moral.
Oleh kerana siapa yang menyebar atau dalang penyebaran video itu beliau dikenalpasti, apakah Tun Mahathir masih mahu berdiam diri tentang soal moral dalam kerajaan yang dipimpinnya?
Apakah semata-mata kerana tidak mahu diperalatkan untuk menyingkirkan seseorang, beliau sanggup melihat kemungkaran terus berada di sekelilingnya?
Adakah menjadi alat dengan menyingkir seseorang yang buruk moral lebih hina daripada membiarkan mereka yang terpalit dengan isu moral terus bertakhta dalam kerajaan?
Memang benar mengintip kesalahan atau aib orang lain bukan ajaran agama, tetapi pastikah Tun Mahathir video berkenaan hasil intipan seseorang?
Bukankah dalam pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki dalam video berkenaan yang mendakwa pasangannya adalah Azmin, rakaman dilakukan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sendiri untuk tujuan koleksi peribadinya?
Maka, sudahkah hal itu dipastikan sebelum Tun Mahathir mengatakan ia hasil intipan?
Lagi pun, jika ia merupakan intipan, siapakah yang ada kemampuan luar biasa memasang kamera di bilik seorang menteri kesayangan kepada Perdana Menteri?
Yang lebih buruk dan tak boleh pakai sekali apabila Tun Mahathir mengatakan video ini adalah isu politik dan bukan masalah moral, adakah beliau masih ingat ketika Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 dahulu?
Ketika itu Anwar dikaitkan dengan perbuatan liwat terhadap pemandunya, Azizan Abu Bakar dan tanpa ada sebarang video atau gambar, sebaliknya hanya bersandarkan pengakuan semata-mata, beliau telah dipecat daripada UMNO dan kerajaan.
Pada waktu itu Tun Mahathir dengan bangga mengatakan, pemecatan Anwar bukan merupakan isu politik, tetapi disebabkan masalah moral bekas timbalannya itu.
Kenapa sekarang, setelah ada video yang jelas dan 99 peratus rakyat Malaysia tidak ragu-ragu tentang siapa pelakunya, Tun Mahathir boleh berubah nada dengan mengatakan ia adalah isu politik?
Mengapa apabila memecat Anwar yang merupakan tindakan politik pada 1998, beliau mengatakan ia adalah isu moral, tetapi pada 2019 apabila tidak mahu menyingkirkan Azmin, dikata pula sebagai isu politik, sedangkan masalah moralnya sangat jelas?
Mana satu yang boleh pakai Tun?
Kenapa PM4 dahulu tidak seperti PM7 sekarang?
Atau ini bermakna Tun Mahathir secara tidak langsung sedang membersihkan Anwar yang dipecatnya dahulu sehingga kemudian pada 2016 beliau sanggup berdamai semula serta menyetujuinya bekas musuh politiknya itu sebagai bakal penggantinya? (Shahbudindotcom 23/07/2019)