Pelaburan asing kunci PH kekal di Putrajaya – Penganalisis
Penganalisis ekonomi berkata, hanya pelaburan asing yang mencurah masuk boleh mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) ke 15.
Menurut penganalisis ekonomi, Jameson Tan, pelaburan asing akan mewujudkan sejumlah besar peluang pekerjaan yang tidak mampu dilakukan pada era BN.
Peluang pekerjaan, katanya, akan mengurangkan tanggungan kerajaan PH dalam bentuk bantuan kepada golongan bujang yang sebelum ini dikritik hebat kerana hanya meluluskan amaun sebanyak RM100 berbanding RM450 pada era BN
Jameson memberi amaran agar menteri PH lebih agreasif menarik pelaburan asing kerana hayat kerajaan hanya tinggal 3 tahun setengah sebelum PRU 15 mengambil tempat.
“Saya berharap lebih ramai menteri Pakatan Harapan (PH) akan menggiatkan usaha mereka untuk menarik pelaburan asing. Terlebih dahulu saya minta maaf kerana berpendapat usaha yang sedang dijalankan untuk menarik pelaburan asing agak lembab dan tidak cukup ‘agresif’, seperti ‘suam-suam kuku’ sahaja.
“Sebenarnya, Malaysia mempunyai banyak potensi pelaburan, pelbagai industri boleh berkembang maju di sini. Industri fesyen, industri pertanian, industri makanan; Malaysia mempunyai banyak sumber asli dan ramai rakyat yang berbakat. Oleh itu, Kerajaan PH patut mewujudkan banyak agensi untuk membantu perniagaan yang baru (business start-ups).
“Dengan pengurangan hutang negara, Kerajaan PH mungkin ada wang untuk membantu industri tersebut. Malaysia juga perlukan Revolusi Industri 4.0 untuk merangsangkan ekonomi negara,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Namun demikian, Jameson menegaskan rakyat Malaysia juga perlu memainkan peranan dengan mengurangkan tumpuan kepada isu-isu perkauman dan agama sempit yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Isu-isu agama dan perkauman memang akan menjatuhkan imej Malaysia di kaca mata pelabur asing. Lebih kerap isu ini dimainkan, maka kuranglah pelaburan asing mahu datang.
“Di sini, Kerajaan PH wajar mengambil langkah serius dan tegas untuk membenteras gejala isu perkauman sebab isu tersebut akan memudaratkan semangat muhibbah di antara pelbagai kaum di Malaysia.
“Akhirkata, Malaysia boleh menjadi satu destinasi pelaburan yang terunggul di rantau Asia jika semua rakyat dan Kerajaan PH menggerakkan usaha bersama,” tambah Jameson lagi.