Orang Asli mati akibat pengabaian kerajaan Kelantan?
Kes kematian ramai Orang Asli di hulu Kelantan berlaku kerana kerajaan negeri gagal melindungi masyarakat itu daripada kesan perlombongan, pembalakan dan perladangan, kata NGO alam sekitar.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kes di Kuala Koh, Gua Musang itu dapat dielakkan jika kerajaan negeri menyekat aktiviti tersebut.
Kerajaan negeri juga sepatutnya memindahkan penduduk kampung ke kawasan lebih selamat apabila kes kematian pertama berlaku, yang didakwa berpunca daripada pencemaran air.
“Semenjak aktiviti lombong dan pembalakan bermula, penduduk kampung mula jatuh sakit dan sukar meneruskan hidup. Pihak bertanggungjawab sepatutnya tampil menyelesaikan masalah ini.
“Orang Asli tidak ramai. Jelas sekali kerajaan negeri mampu jaga dan mereka sepatutnya ditempatkan dalam keadaan lebih baik.
“Anak-anak di sini tinggal dalam khemah dengan kekurangan makanan dan air. Ini tak sepatutnya berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas melawat keadaan penduduk di Kuala Koh.
Kumpulan NGO itu juga membawa bekalan makanan untuk penduduk di situ.
Shariffa mendakwa pengusaha lombong itu sudah diarahkan menghentikan operasi pada 2017 tetapi masih meneruskan kerja perlombongan.
“Ia masih aktif. Ia sepatutnya dihentikan dua tahun lalu tetapi pada hari ini ia masih diteruskan.
“(Orang Asli) tiada bekalan air bersih. Bekalan air mereka tercemar disebabkan aktiviti pembalakan dan perlombongan.
“Kami percaya ini punca begitu ramai jatuh sakit dan menyebabkan beberapa kematian di kampung ni,” katanya.
Dalam video Shariffa yang dikongsi dengan The Malaysian Insight, beliau dirakam menyoal golongan wanita kampung itu mengenai punca kejadian berkenaan.
“Sebelum kegiattan pembalakan dan perlombongan, tiada orang jatuh sakit dan mati. Orang muda mati, bayi dalam kandungan pun mati,” kata seorang penduduk suku Bateq dalam rakaman itu.
Satu lagi rakaman video menunjukkan aliran anak sungai yang keruh di tepi ladang kelapa sawit.
Satu lagi NGO yang menyokong dakwaan Peka adalah Sahabat Jariah, iaitu pertubuhan yang menjalankan aktiviti kebajikan di kawasan penempaan Orang Asli itu.
Presidennya, Johan Halid berkata kejadian yang berlaku kini kesan daripada kegiatan perlombongan dan perladangan sejak sedekad lalu.
Kini, kumpulan masyarakat Orang Asli itu menderita kerana menggunakan air dari sumber asli yang dipercayai dicemari bahan kimia daripada aktiviti lombong dan ladang, katanya.
Selain itu, penduduk Orang Asli itu juga semakin sukar mendapatkan sumber makanan kerana pembalakan di kawasan hutan.
Johan memberitahu The Malaysian Insight, sekurang-kurangnya 15 penduduk meninggal dunia sejak awal Ramad pada Mei namu hanya tiga kes dilaporkan kepada polis.
Pihak berkuasa mengumumkan kematian tersebut berpunca daripada jangkitan paru-paru atau pneumonia namun jenis bakteria atau virus terbabit masih belum dapat dipastikan.
“Mereka mati di kampung dan kematian itu tidak dilaporkan kepada polis. Mereka tidak mahu lapor kepada polis kerana jika mahu berbuat demikian, mereka perlu berjalan berbatu-batu dan berjam-jam ke balai polis.
“Jadi mereka kebumikan yang mati di dalam hutan tanpa membuat laporan,” kata Johan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Mohd Taufik Maidin semalam berkata, seramai 119 penduduk kampung menerima rawatan dan enam kes kritikal dibawa ke Hospital Kuala Krai.