PH adil, bayar royalti petroleum – MB Terengganu
KERAJAAN persekutuan di bawah Pakatan Harapan lebih adil kepada kerajaan PAS di Terengganu termasuk dalam soal bayaran royalti minyak untuk negeri, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang jadi perdana menteri sekali lagi, tidak menekan Terengganu kerana ditadbir parti pembangkang, katanya.
Putrajaya membayar royalti yang dijanjikan oleh Barisan Nasional sejak sekian lama, tambahnya.
Ahmad Samsuri memberitahu kerajaan negeri sudah terima bayaran royalti peringkat pertama bagi tahun 2018 dan 2019 secara terus sebanyak tiga kali berjumlah RM450 juta.
Baki daripada keseluruhan bayaran berjumlah antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion pula dijangka akan dibuat pada September.
“Pembayaran royalti petroleum ini akan dibayar dua kali setahun, iaitu pada Mac dan September.
“Dana itu akan kita gunakan untuk bayar gaji dan membayar segala projek pembangunan yang dilakukan kerajaan lalu (BN) yang perlukan pembayaran bermula tahun ini,” kata Ahmad Samsuri kepada The Malaysian Insight.
Beliau yang juga Adun Rhu Rendang berkata, dana royalti petroleum itu juga akan membiaya pembinaan loji penapis air, projek Bandar Baru Kuala Nerus dan Bandar Baru Kijal.
“Kita ada projek kerajaan lalu yang perlu pembayaran bermula tahun ini, (perlukan dana) ratus-ratus juta (ringgit), itulah (royalti petroleum) digunakan.
“Semua projek itu dijalankan bertahun lalu oleh kerajaan lalu dan pembayarannya akan bermula sekarang ini. Pembayaran itu akan gunakan royalti petroleum,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berpendapat kerajaan persekutuan sekarang juga lebih terbuka menerima perbezaan pandangan dalam urusan pentadbiran negeri.
“Kita boleh berbeza pendapat dalam beberapa perkara, kalau kita tidak bersetuju kita nyatakan kita tidak setuju (dalam sesuatu perkara).
“Kalau kerajaan sama tentu ada kekangan dalam hal itu, tetapi bagi kita tidak ada masalah,” katanya dalam satu pertemuan di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Beliau menarik perhatian bagaimana kerajaan PAS di Kelantan selama beberapa tahun berdepan masalah dengan kerajaan BN di persekutuan, sejak ia menang negeri itu dalam pilihan raya 1990.
Dr Mahathir jadi perdana menteri kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu, selepas kali pertama antara 1981 dan 2003.
Menurut Ahmad Samsuri, sejak setahun lalu kerajaan persekutuan mengambil langkah berunding dengan negeri-negeri pembangkang.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan pimpinannya juga berjaya melunaskan sebahagian besar daripada 20 janji manifesto PAS Terengganu sewaktu PRU14.
Antara janji manifesto bertema “Terengganu Maju, Berkat, dan Sejahtera” yang sudah dan sedang dilaksanakan termasuklah penghapusan cukai pintu rumah kediaman serta tunggakan.
Turut dilaksanakan adalah karnival kahwin kali pertama percuma, pemberian air percuma dan lesen motosikal percuma.
“Daripada 20 tawaran manifesto, 12 kita sedang laksanakan, kita penggal masih panjang, pentadbiran baru setahun berlalu untuk laksanakan semua manifesto,” kata Ahmad Samsuri lagi.
Dalam PRU14, PH berjaya menawan beberapa negeri ditadbir BN, namun arus perubahan itu tidak melanda negeri-negeri pantai timur.
PAS kekal di Kelantan dan merampas semula Terengganu yang pernah diperintahnya pada 1999.
BN juga hanya berjaya menguasai Pahang dan Perlis manakala Sarawak dikuasai empat parti tempatan, Gabungan Parti Sarawak yang keluar BN.
Di Terengganu, PAS menguasai 22 daripada 32 kerusi negeri, berbanding BN yang hanya menang 10 kerusi.