Najib tandatangan surat pinjaman SRC kepada KWAP
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak menandatangani surat perjanjian pinjaman tambahan RM2 bilion oleh SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Perkara itu dinyatakan bekas Penolong Naib Presiden KWAP (Bahagian Pendapatan Tetap), Amirul Imran Ahmat, dalam keterangannya.
Saksi ke-29 pendakwaan itu berkata, Najib menandatangani surat tersebut selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.
Dokumen perjanjian pinjaman itu, turut ditandatangani antara CEO KWAP pada masa itu, Azian Mohd Noh dan pengarah SRC International Suboh Md Yassin.
Menurutnya, KWAP menerima resolusi daripada Lembaga Pengarah SRC International untuk mendapatkan pinjaman tambahan RM2 bilion pada 14 Mac 2012.
Amirul berkata pada 22 Mac 2012, beliau menerima e-mel dari Nik Faisal kepada Azian Nor bahawa Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan telah membuat keputusan mengenai pembiayaan tambahan RM2 bilion.
Saksi itu berkata, dia diarahkan oleh ketuanya ketika itu, Nor Hisyam untuk menyediakan ‘surat pekeliling’ atas pinjaman berkenaan.
“Ia adalah satu jumlah sekali gus, berdasarkan perbincangan dengan PM,” kata Amirul.
Amirul berkata Najib adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB dalam kaitan kertas pelaburan panel yang disediakannya, berhubung pembiayaan tambahan berkenaan.
Khamis lalu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Kamariah Noruddin, dalam keterangannya , mengesahkan SRC International menerima geran RM20 juta daripada kerajaan sebagai modal permulaan.
Kamariah dilaporkan berkata, syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum itu memohon peruntukan RM3 bilion bagi penubuhan SRC International yang bertujuan mengekalkan pegangan strategik dalam pengeluaran negara.