Berikut adalah antara ungkapan terbaru yang dilafazkan oleh Tun Mahathir berkenaan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini.
“Saya telah berpegang kepada janji bahawa akan letak jawatan dan beri laluan kepada Anwar, ia perkara yang agak pasti.
“Tiada perbincangan tentang siapa yang akan jadi pengganti saya atau apa yang akan dilakukan.
“Dia (Anwar) tidak perlu mengikut arahan saya atau ikut apa yang telah saya lakukan.
“Dia bebas untuk buat apa yang difikirnya terbaik sebagai perdana menteri….saya tidak akan campur tangan lagi dalam pentadbiran negara.
“Tugas saya ialah menyediakan negara agar ia boleh diambil alih oleh pengganti saya,” kata Tun Mahathir dalam wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama pentadbiran PH.
Persoalan pertama, kenapa Tun Mahathir masih menyebut soal memberi laluan kepada Anwar dengan perkataan “perkara yang agak pasti?”
Mengapa mesti ada perkataan “agak” lagi?
Mengapa tidak terus dikatakan peralihan itu adalah sesuatu yang pasti?
Apa makna ada terselit perkataan “agak” sebelum perkataan “pasti” itu?
Apa bezanya ayat ini dengan sebelum ini beliau selalu menyebut “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang” sebagai merujuk kepada tempohnya menjadi Perdana Menteri?
Tidakkah perkataan “mungkin” dan “agak” itu memberi maksud yang kabur dan tidak pasti?
Persoalan kedua, bila sebenarnya tarikh yang tepat untuk Tun Mahathir mahu letak lawatan bagi beliau serahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar?
Mengapa, dalam selalu menyebut akan letak jawatan dan akan serah jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, tapi Tun Mahathir masih juga tidak menetapkan tarikh pengundurannya?
Tidak bolehkah beliau melakukannya seperti tahun 2002 dahulu di mana ketika itu 31 Oktober 2003 telah dipilihnya sebagai tarikh pengundurannya untuk Tun Abdullah Ahmad Badwai menggantikannya? (Shahbudindotcom 09/05/2019)