AS, Singapura pulang wang 1MDB, bukti PH boleh mentadbir – Ir Nizar
Pembangkang yang memperdaya rakyat kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu mentadbir seharusnya membuka mata dengan keputusan Amerika Syarikat dan Singapura memulangkan wang rampasan urusniaga 1Malaysia Development Berhad, RM106 juta dan RM828 juta kepada kerajaan Malaysia.
Menurut Exco Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, keputusan itu hanya dibuat selepas kedua-dua negara berpuas hati bahawa kerajaan Malaysia tidak lagi mengamalkan kleptokrasi dan akan membelanjakan wang hanya untuk kebajikan rakyat.
Katanya, keyakinan kedua-dua negara itu juga membuktikan Malaysia berada di atas landasan yang betul dalam hal urus-tadbir.
“Saya hanya berharap kepulangan duit tersebut dapat membuktikan kepada rakyat bahawa Kerajaan PH mempunyai kebolehan mentadbir. Sebab kebolehan ini telah diragukan oleh ramai orang, terutamanya puak pembangkang (BN dan PAS).
“Seperti yang saya tekankan banyak kali, Kerajaan PH memerlukan masa untuk mentadbir dengan jayanya kerana kita sedang menghadapi banyak cabaran iaitu ekonomi dunia sedang menguncup dan beban hutang negara yang tinggi,” kata Nizar kepada Suara Pakatan Daily.
Sehubungan itu, beliau menyeru puak-puak ektremis kaum dan agama supaya menghentikan retorik mereka serta-merta kerana politik bodoh tersebut tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana malah akan menghancurkan negara.
“Kerajaan PH tidak pernah mengenepikan atau mengabaikan hak Melayu tetapi sebaliknya telah banyak membantu dengan memberi lebih RM6 bilion untuk FELDA.
“Selain dari itu, Kerajaan PH juga berhasrat mendapatkan dana di antara RM6 bilion hingga RM10 bilion untuk projek di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Projek landasan keretapi Pantai Timur (ECRL) juga akan diteruskan untuk memanfaatkan masyarakat Melayu di negeri-negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Bukankah ini menunjukkan Kerajaan PH telah memberi keutamaan kepada masyarakat Melayu?” tanyanya.
Nizar turut menempelak pembangkang yang mengapi-apikan isu Melayu dan menunding jari kononnya kerajaan lemah tetapi tidak pernah pula memberi cadangan untuk memperbaiki keadaan negara.
“Sehingga kini, adakah puak pembangkang memberi sebarang cadangan untuk mengatasi cabaran yang sedang dihadapi oleh Kerajaan PH atau apa-apa cadangan untuk memajukan negara?” tanya Nizar.