Perbalahan Anwar – Azmin resahkan ahli PKR
Perbalahan terbuka baru-baru ini antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamad Azmin Ali menyebabkan ahli tidak selesa kerana mereka bimbang pertikaian yang semakin menjadi-jadi itu petanda perpecahan dalam parti semakin mendalam.
Seorang sumber parti memberitahu The Malaysian Insight bahawa beberapa insiden baru-baru ini mencerminkan masalah serius dalam parti, walaupun pelbagai usaha dilakukan pemimpin parti untuk menutup isu itu.
“Mereka tidak sehaluan lagi selepas pemilihan parti. Azmin masih marah Anwar melantik orang yang kalah, khususnya mereka yang rapat dengan Rafizi Ramli,” kata sumber.
Rafizi dilantik sebagai naib presiden walaupun kalah dalam perebutan jawatan timbalan presiden yang dimenangi Azmin, dalam satu persaingan sengit dalam pemilihan parti tahun lalu.
“Anwar sepatutnya boleh lantik dia sebagai pengarah komunikasi. Pelantikan itu tidak begitu diterima baik dalam kalangan ahli parti.
“Satu lagi pelantikan ialah Johari Abdul sebagai pengerusi PKR Kedah walaupun tewas di bahagiannya. Individu yang menewaskan Johari kini perlu terima arahan daripadanya,” kata sumber.
Rafizi dan Johari antara pemimpin PKR yang dikatakan dalam “kem” Anwar, bertentangan dengan geng Azmin.
“Kami tidak ada masalah dengan Anwar sebelum ini dan menyokongnya. Tetapi mereka yang mengundi Azmin kini berdepan kesukaran dengan Anwar,” kata sumber.
Awal minggu ini, Anwar memberitahu Azmin untuk “bertenang” selepas menteri hal ehwal ekonomi itu menggelar Nurul Izzah sebagai “merengek” susulan tindakannya meletak jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Nurul meletak jawatan itu sebagai tanda protes terhadap keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membenarkan Ronald Kiandee yang menyertai Bersatu, untuk kekal sebagai pengerusi PAC.
Azmin hanya membalas mesej Anwar dengan “ha ha ha” di Twitter