Dalam dunia ini, kisah kehidupan manusia cuma ada dua kesudahan. Pertama tragedi, kedua komedi. Industri akhbar dan pemberitaan terbina atas puing-puing tragedi. Kerana itu kita sering melihat kisah-kisah tragedi menjadi tajuk utama muka depan akhbar; malah berlarutan hingga beberapa muka surat kemudiannya. Jika tidak ada tragedi, tidak ada berita. Tiada kontroversi, tiada publisiti.
Sebagai contoh, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.
Steven seorang menteri yang rajin bekerja, selain meminati puisi dan kesusasteraan. Ahli Parlimen Bukit Mertajam ini bahkan menulis beberapa buah buku, termasuk satu buku puisi dalam Bahasa Melayu. Ditanya jika beliau meminati sukan, jawabnya dia hanya gemar berlari. Main golf, jauh sekali.
Secara fitrahnya, orang seperti Steven ini tidak begitu menarik untuk dijadikan tajuk berita utama. Steven contoh ahli politik yang langsung tidak ‘seksi’ di mata media massa. Beliau tidak dianggap seorang ‘newsmaker’. Wartawan mana yang mahu lapor tentang ucapannya mahu memastikan atlet negara mempunyai jaminan perlindungan kesihatan dan peluang kerja. Tajuk seperti ini tidak menarik minat pembaca.
Tidak ada tragedi mahupun komedi dalam cerita seorang Steven Sim.
Sebaliknya, jika kita mengamati perkembangan mantan perdana menteri Najib Razak, tragedi dan komedi dalam naratif beliau seakan tidak pernah habis.
Justeru apabila ramai betul orang risau tentang meningkatnya ‘populariti’ Najib Razak, saya hanya boleh geleng kepala.
Biasalah mantan perdana menteri kaki klepet, semua orang akan kerumun mahu bergambar buat kenang-kenangan. Najib Razak adalah barang langka, yang tidak akan diketemui lagi apabila beliau beransur ke penjara.
Sama halnya dengan barang-barang langka yang lain. Mesin taip, kaset, VHS, piring hitam, keris berpenunggu, bahkan ayam serama berbulu hitam pekat. Semua ini barang langka yang kalau kita temui, kita akan mahu bergambar.
Seperti ciapan saya di laman sosial Twitter. Kalau Iblis menjelma di Tesco Semenyih pun, orang ramai akan ajak berswafoto. “Eh Iblis lah,” kata mereka. “Selalu dengar nama sahaja, tak pernah bersua muka. Jom selfie!”
Namun apa yang lebih penting daripada itu ialah mempersoal siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada kempen populariti Najib ini?
Umno? Dia bukan siapa-siapa dalam parti. BN? BN sudah hancur bersepai. PAS? Jauh sekali. Maka siapa yang mendapat manfaat?
Ya, orang yang mendapat projek melaksanakan kempen tersebut.
“Datuk Seri, kita kena angkat profile you, kita kena frame you sebagai pembela nasib rakyat marhaen. You kena jadi popular Datuk Seri. Ni saya ada proposal sekali dengan budget. Saya dah ada team, bekas wartawan ramai. We can do it.”
Lebih kurang begitulah, barangkali. Mereka pastinya menyedari bahawa dalam era transisi seperti ini, mantan perdana menteri yang kini memakai baju pembangkang pasti mempunyai tarikan graviti yang kuat dalam kalangan rakyat. Ini fitrah parti pembangkang.
Dahulu, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menyarung jersi pembangkang dan turun ke perhimpunan Bersih 4 pun, beliau menjadi tumpuan kamera masyarakat. Ketika itu beliau juga merupakan barang langka. Mantan perdana menteri yang berkhidmat paling lama tiba-tiba terjun ke lapangan aktivisme politik oposisi. Tolak tepi prejudis dan benci era Reformasi, semua orang mahu bergambar dengannya.
Begitulah juga halnya dengan Najib Razak. Memanglah media sosial dan media massa akan melahap kisah aktiviti Najib Razak ini bagai serigala yang lapar kerana pasca PRU14, media sudah terlepas bebas daripada belenggu kerajaan yang mengikatnya selama ini.
Tidak ada lagi pandu arah daripada pihak ‘atasan’ untuk menulis itu dan ini, dengan cara begitu dan begini. Tidak ada lagi Habibul Rahman Kadir Shah untuk memberi arahan kepada sidang pengarang. Tidak ada lagi sidang pengarang yang perlu takut dan menanti lampu hijau daripada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sebelum menyiarkan sebarang berita yang tidak memihak kerajaan.
Maka aktiviti Najib Razak diberi liputan meluas. Khalayak pastinya akan mahu membaca kisah terbaru bekas perdana menteri yang kini membawa imej ‘mat rempit’. Sekadar untuk ketawa-ketawa.
Di era Malaysia Baharu ini, mana ada media yang bebas akan berminat untuk bercerita tentang usaha dan dasar-dasar kerajaan kecuali jika ada salah silap besar-besaran yang memalukan. Maka tidak hairan kenapa liputan media tentang kerajaan Pakatan Harapan selepas beberapa bulan mengambil alih pentadbiran sering sahaja negatif.
Anjing gigit manusia bukan berita! Manusia gigit anjing; hah, itu baru berita.
Jadi saya sarankan anda yang resah gelisah dengan populariti Najib Razak ini untuk bawa bertenang. Tidak salah untuk merasa kalut dengan lonjakan publisiti beliau, tetapi adalah penting untuk menarik nafas panjang dan melihat bingkai yang lebih besar.
Selalulah bertanya ‘cui bono?’, siapa yang mendapat manfaat.
Kempen populariti Najib Razak hanyalah projek buat duit oleh kumpulan manusia yang hilang kerja dan tidak berpeluang lagi menjarah perbendaharaan negara selepas PRU14. Itu sahaja.
Popular kalah Kim Kardashian pun, suami Rosmah Mansor itu tidak akan jadi perdana menteri semula.