APA MAKNANYA LAWAN TETAP LAWAN...MAKA INILAH MASANYA

TUN M PERLAHAN-LAHAN MENAMBAH KEKUATAN, ANWAR JANGAN TAKUT UNTUK MELAWAN


Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu hari ini menerima kemasukan enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu di suatu majlis ringkas di Putrajaya.

Mereka yang sekaligus diberikan kad keahlian itu ialah Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Latif Ahmad (Mersing) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Sebelum ini, tiga rakan mereka daripada UMNO - Mustapa Mohamad (Jeli), Mas Ermiayati Shamsuddin (Masjid Tanah) dan Nor Azami Ghazali (Bagan Serai) telah pun lebih dulu diterima menyertai Bersatu.

Dicampur dengan 13 Ahli Parlimen Bersatu sedia ada, bermakna parti itu kini mempunyai jumlah 22 Ahli Parlimen kesemuanya.

Apakah tujuan Tun Mahathir secara perlahan-lahan menambah bilangan Ahli Parlimen ke dalam Bersatu ini?

Bukankan sebelum ini Tun Mahathir ada menyebut bahawa mereka yang meninggalkan UMNO perlu menjadi wakil Bebas untuk suatu tempoh tertentu terlebih dahulu sebelum boleh diterima menyertai Bersatu?

Mengapakah tempoh enam bekas Ahli Parlimen UMNO itu menjadi Bebas hanya kira-kira sebulan lebih saja, kemudian terus diterima masuk menyertai Bersatu?

Adakah langkah ini untuk segera memperkuatkan Bersatu dan melumpuhkan UMNO?

Apakah ia juga bertujuan untuk PH memiliki bilangan majoriti dua pertiga di Parlimen bagi memudahkan pindaan perlembagaan dan reformasi undang-undang dilakukan?

Atau kemasukan ini untuk “menyailang” Anwar Ibrahim dan mengelakkan Tun Mahathir daripada menunaikan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu?

Tanyalah siapa pun juga yang faham politik, lebih-lebih lagi yang kenal putar belit Tun Mahathir dalam UMNO sebelum ini, rata-ratanya percaya kemasukan ini tidak lain ialah bertujuan untuk menyekat kemaraan Anwar.

Tun Mahathir tidak perlu menerima kemasukan bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu jika mahu menguatkan Bersatu kerana tindakan tersebut tidak menjamin PH boleh menang selesa di kawasan yang mereka wakili sekarang ini dalam pilihanraya akan datang nanti.

Kesemua mereka malah belum pasti dapat dipilih bertanding semula mewakili Bersatu dalam pilihanraya akan datang kerana pemimpin Bersatu tempatan tidaklah semudah itu menerima mereka yang dalam pilihanraya lalu bertanding atas tiket BN, tapi di masa akan datang mahu diletakkan melalui tiket PH pula.

Lagi pula, untuk menguatkan Bersatu, yang penting ialah menambah ahli dengan jumlah yang ramai, bukan sekadar sembilan Ahli Parlimen saja.

Setakat bekas Ahli Parlimen UMNO itu membawa hanya diri mereka saja tanpa ada seorang penyokong pun yang ikut serta, apa jadahnya mereka dapat menguatkan Bersatu?

Begitu juga untuk meminda undang-undang di Parlimen, majoriti dua pertiga sebenarnya tidaklah relevan 100 peratus bagi tujuan itu.

Dengan jumlah kerusi sedia ada yang dimiliki oleh PH saja pun, kiranya pindaan undang-undang itu sesuatu yang baik untuk rakyat, Ahli Parlimen UMNO dan Pas sekalipun tentu tidak ada masalah untuk  memberikan sokongan mereka.

Menambah jumlah Ahli Parlimen ke dalam Bersatu hanya betul-betul bermanfaat untuk Tun Mahathir menjadikannya sebagai senjata dalam memungkiri janji penyerahan kuasa terhadap Anwar.

Tidak ada tujuan lain yang relevan dalam membawa bekas musuh ke dalam Bersatu, melainkan untuk menumbangkan musuh yang lagi satu dan demi menjadikan Tun Mahathir dapat terus berkuasa dengan lebih lama.

Mahu tidak mahu, dengan perkembangan ini, Anwar harus lebih berwaspada dan awas selalu mulai sekarang. 

Hanya sehari selepas Tun Mahathir mencicirkan nama Anwar dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam Majlis Tindakan Ekonomi yang baru ditubuhkannya, beliau nampaknya mengorak selangkah lagi dengan terus menambah Bersatu melalui kemasukan bekas Ahli Parlimen UMNO.

Jika perlu melawan, Anwar perlu melawan kali ini. Kalau perlu merampas kerusi Perdana Menteri itu daripada Tun Mahathir, beliau tidak harus teragak-agak melakukannya. Lawan tetap lawan.

Tun Mahathir mesti disedarkan bukan saja tentang janji, tetapi juga tentang hakikat bahawa Pakatan Harapan ini atau dulunya Pakatan Rakyat dan reformasi adalah perjuangan yang diasaskan dengan darah dan airmata oleh Anwar sejak 1998 lagi.

Anwar bersama PKR, DAP dan Amanah telah berjaya membawa baton perjuangan itu sehingga ke jarak 90 meter, manakala Tun Mahathir hanya menyudahkan 10 meter terakhir saja sebelum ke garisan penamat pada 9 Mei 2018 lalu.

Maka, setelah mendapat kerusi empuk yang realitinya hanyalah sementara, Tun Mahathir tidak harus lupa menyerahkannya semula kepada yang berhak dan  sebagaimana termetrai dalam perjanjian. (ShahbudinHusin 12/02/2019)