PRK Cameron Highlands: Jangan cuba rasuah pegundi sekali lagi
Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran yang menang dalam petisyen pilihan raya ke atas kerusi parlimen Cameron Highlands baru-baru ini memberi amaran kepada calon yang akan bertanding di kerusi itu agar tidak merasuah pengundi.
Katanya dalam era Malaysia baharu, sesiapa yang melakukan rasuah tidak akan terlepas dan keputusan pilihan raya boleh dibatalkan melalui proses mahkamah yang bebas.
“Saya ingin memberi amaran keras kepada pihak lawan yang bertanding di sana supaya jangan cuba merasuah pengundi.
“Dalam era Malaysia Baru, amalan rasuah-merasuah telah dikikis dan sesiapa yang cuba menghidupkan amalan ini akan menerima hukuman yang setimpal.
“Kemenangan saya dalam petisyen pilihan raya jelas membuktikan amalan rasuah dalam pilihan raya telah dihapuskan dalam era Kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Bagaimanapun, beliau masih belum dimaklumkan secara muktamad siapakah yang akan dicalonkan oleh DAP untuk bertanding di kerusi berkenaan dalam proses PRK yang dijadual bermula pada 12 Januari 2019.
“Calon untuk kerusi Cameron terpulang kepada parti DAP. Tetapi saya berharap akan dicalonkan sebab saya telah buat kerja di sana sejak sebelum PRU13 lagi, dimana saya juga adalah calon di situ,” katanya.
Mengulas tawaran kepada pengundi Cameron, Manogaran berkata, DAP akan memberikan khidmat yang terbaik. Apatah lagi, katanya, kerajaan pusat telah diambil alih oleh PH, maka lebih banyak peruntukan dijangka akan diberi kepada pusat pelancongan tanah tinggi itu.
“Oleh kerana Kerajaan PH adalah kerajaan pusat, saya harap banyak lagi dana boleh disalurkan kepada penduduk di Cameron Highlands terutamanya kepada Orang Asli yang menetap di sana.
“Apapun saya harap bahawa PRK ini akan berjalan dengan licin dan sempurna dan penduduk Cameron Highlands akan melaksanakan tugas mengundi dengan hati yang riang dan ceria,” tambahnya.
SPR menetapkan hari mengundi pada 26 Januari 2019.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu, kerusi Cameron dimenangi oleh Sivaraj Chandran dari MIC-BN apabila beliau memperolehi 10,307 undi mengalahkan M. Manogaran dari DAP-PH yang mendapat 9,710 undi.
Majoriti calon MIC ialah sebanyak 597 undi sementara undi rosak ialah 790. Dalam petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Manogaran pada Jun lalu, beliau berjaya membuktikan kerusi MIC telah dimenangi secara memberi rasuah kepada pengundi (keputusan mahkamah pada 30 November 2018).
Demografi pengundi di Cameron Highlands untuk PRU14 menunjukkan bahawa pengundi Melayu berjumlah 33.5%, Cina 29.48%, India 14.91% dan Orang Asli 21.56%. Pengundi berdaftar ialah 32,048 dan peratusan yang keluar mengundi ialah 25,326 (79%).