Peserta dialog gelar Hadi rasis di London
Presiden PAS Abdul Hadi Awang digelar rasis oleh hadirin pada satu sesi dialog anjuran sayap pelajar parti itu di London semalam.
Dalam sebuah video dimuat naik di Facebook Hadi, seorang lelaki menggelarkannya rasis kerana kritikan terhadap pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bagaimanapun, Hadi tenang menjawab yang pilihan raya PBT perlu bersifat inklusif supaya bandar tidak didominasi oleh kaum tertentu sahaja.
“Bila penduduk tertentu kuasai bandar, sudah tentulah bandar-bandar besar, seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Seremban, Johor Bahru semua dikuasai kaum Cina DAP.
“Mereka boleh buat apa sahaja, mereka boleh benarkan arak, benarkan judi.
“Kita boleh benar, oleh sebab itu (pilihan raya PBT) mesti melibatkan pemandu teksi, melibatkan semua pihak yang menghidupkan bandar,” katanya.
Hadi kemudiannya menggunakan contoh tragedi 13 Mei untuk menyokong pandangannya.
“Kalau satu kaum saja yang menguasai akan timbul 13 Mei balik, kita mengalami peristiwa berdarah 13 Mei,” katanya.
Kenyataan Hadi itu mengundang marah lelaki berkenaan yang berkata: “Jika kamu mahu Malaysia maju dan bersaing dengan negara-negara lain, kamu perlu keluar dari kebodohan kamu.”
Susulan kekecohan itu, hadirin lain meminta lelaki berkenaan bertenang tetapi tidak dihiraukan.
Lelaki itu turut menuduh Hadi berdiam diri dalam isu Tabung Haji dan mendakwa PAS mendapat wang 1MDB daripada Najib Razak