ICERD: Demo pulih semangat ahli Pas selepas gagal jadi King Maker
Demonstrasi anti-ICERD yang dianjurkan Pas dan Umno tidak lebih daripada menunjuk kekuatan selepas kalah dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Demikian disimpulkan oleh seorang veteran parti Islam tersebut yang tidak melihat isu utama membela Melayu di sebalik tunjuk perasaan berkenaan.
Katanya, himpunan itu tidak lebih untuk menguji persefahaman Umno-Pas dan menaikkan semula semangat ahli parti yang ditolak rakyat dalam PRU 14.
“Akhirnya ahli-ahli Pas merasa puas bila berjaya mengadakan demonstrasi bersama rakan baru mereka, Umno.
“Dapat dilihat bekas MB Terengganu Mat Said bersama bekas Menteri Pertanian Shabeery Cheek turut hadir bersama para demonstran yang lain
“Sementara kehadiran pemimpin tertinggi Umno, Zahid Hamidi dan Tok Mat Hasan serta bekas PM Najib Razak serta isterinya Rosmah menaikkan semangat Eli Suryati dan Mustapa Kamal, dua artis pro Umno menjayakan demo tersebut,” kata veteran Pas itu yang enggan namanya disiarkan.
Menurut beliau lagi, demo itu direka sebagai pemujuk semangat selepas Pas gagal menjadi King Maker, satu istilah yang selalu dimainkan oleh pengarah strategi parti itu, Dr Zuhdi Marzuki sebelum PRU 14 lalu.
Ini kerana, katanya, 80% peserta demo adalah penyokong Pas dan majoritinya diangkut dari Pantai Timur. Penguasaan jalan raya dan Dataran Merdeka, kata veteran itu akan membangkitkan semula semangat seolah-olah mereka akan menang PRU 15.
“Kekalahan teruk Pas selepas diramalkan oleh pakar-pakarnya bahawa parti itu bakal membentuk kerajaan bersama Umno diubati dengan berjayanya ahli Pas memenuhkan Kuala Lumpur dalam demonstrasi terbesar itu. Maka rata-rata ahli Pas merasa puas dan bahagia sekali.
“Sedangkan PRU lambat lagi dan mereka juga tahu kehadiran dilakukan dengan kerahan. Di dua negeri yang diperintah Pas, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung kena kerah, juga ahli majlis daerah serta kakitangan pusat khidmat masyarakat di Dun masing-masing.
“Pendek kata Pas berjaya kerahkan ahli bila memerlukannya. Itulah kekuatan Pas,” katanya lagi