32 ahli parlimen Umno akan tinggalkan parti secara berperingkat?
Sekurang-kurangnya 32 ahli Parlimen Umno di Semenanjung didakwa sudah menukar taat setia kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. FMT difahamkan 5 daripada mereka sedia mengisytihar keluar parti.
Dua daripada kumpulan 5 orang itu dari Pantai Timur dan yang lain dari Perak, Johor dan Selangor.
“Apabila ini berlaku, lebih ramai ahli Parlimen Umno dijangka meninggalkan parti,” kata sumber yang rapat dengan kelompok tertinggi parti itu.
Menggambarkannya seperti “gelombang kedua” penghijrahan dari Umno, sumber berkata ia akan berlaku secara berperingkat.
Semalam, 36 wakil rakyat, senator dan ketua-ketua bahagian di Sabah mengumumkan keluar parti, secara efektif melumpuhkan Umno Sabah yang ditubuhkan pada 1991.
Turut menyertai mereka adalah bekas menteri persekutuan Datuk Seri Salleh Said Keruak dan bekas speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Seorang lagi bekas menteri persekutuan, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti itu pada September dan menjadi wakil rakyat bebas.
Walaupun bekas ketua Umno dan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman tiada pada sidang media wakil-wakil rakyat itu di Kota Kinabalu semalam, difahamkan beliau juga menyetujui penghijrahan itu.
Anak Musa, Hafez Yamani, yang belum mengangkat sumpah ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Sipitang, juga akan mengikuti rakan-rakannya keluar parti.
Sumber berkata langkah Umno Sabah itu lebih kepada kekecewaan terhadap hubungan rapat kepimpinan Umno pusat dengan kumpulan haluan kanan serta PAS.
“Ahli dan pemimpin Umno Sabah secara tradisinya tidak mahu terlibat dengan retorik perkauman seperti itu, tetapi bunyi bising dari Kuala Lumpur terlalu kuat hingga mereka tak lagi boleh mengabaikannya,” kata seorang veteran Umno Sabah kepada FMT.
“Tiada arah tuju yang jelas daripada Umno. Ramai mahukan perubahan di peringkat tertinggi tetapi itu tidak berlaku,” tambahnya.
Sementara itu, salah seorang yang meninggalkan parti itu berkata perasaan putus asa sudah terlalu ketara.
“Kami pergi kerana tidak tahu ke mana arah tuju parti,” katanya kepada FMT.
Walaupun 4 ahli Parlimen dan 9 Adun berkata mereka kini wakil rakyat bebas, spekulasi kuat mengatakan langkah itu persediaan untuk menyertai PPBM, yang belum membuka cawangan di Sabah.
Spekulasi semakin kencang apabila Dr Mahathir semalam mengesahkan beberapa pemimpin Umno Sabah menemuinya sebelum keputusan semalam.
Perdana menteri bagaimanapun enggan memberitahu sama ada ahli-ahli Parlimen itu mempunyai tempat dalam PPBM, yang dipengerusikannya.
“Kita perlu melihat bagaimana kelakuan mereka. sekiranya mereka menyokong dan tidak melakukan apa-apa sebelum ini, kami boleh menerima mereka,” katanya kepada pemberita semalam.
Pada Oktober, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A Kadir Jasin mendakwa seramai 40 ahli Parlimen Umno akan meninggalkan parti itu untuk menyertai PPBM.
Sementara itu, seorang wakil rakyat Umno Sabah tidak menyembunyikan pertemuan dengan Dr Mahathir.
“Semasa kami mengikrarkan sokongan kepada Dr Mahathir, kami beritahu kami akan sertai PPBM,” katanya.
Umno memenangi 54 kerusi pada pilihan raya umum Mei lalu, yang menyaksikan parti itu tumbang selepas 6 dekad menguasai kerajaan.
Beberapa pemimpin tertingginya berdepan tuduhan rasuah, termasuk bekas presiden Datuk Seri Najib Razak, Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor.
Beberapa Ahli Parlimen Umno sudah meninggalkan parti itu selepas kekalahan pilihan raya, termasuk bekas menteri perdagangan Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali