Azizah lawat Julau salah guna jentera kerajaan, lawatan Azmin bagaimana?
Lawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Sarawak tidak wajar dipolitikkan sebagai berkempen untuk mana-mana pihak dalam pemilihan PKR.
Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah, Razeef Rakimin berkata, kritikan Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya yang mempersoalkan lawatan Presiden PKR itu secara menggunakan jentera kerajaan adalah tidak berasas.
Hal itu kerana, menurut Razeef, Dr Wan Azizah tidak bertanding dalam pemilihan dan beliau bukan calon untuk sebarang jawatan.
“Kita boleh saja andaikan beliau (Wan Azizah) melawat kawasan berkenaan kerana sebelum ini ramai tidak tahu tentang Julau sebelum nama kawasan ini hangat diperkatakan.
“Maka beliau turun sendiri ke kawasan berkenaan dan kebaikannya adalah beliau (Wan Azizah) sendiri melihat keperluan di kawasan Julau. Adakah beliau berkempen?
“Sudah tentu tidak. Dan tiada asas mempersoalkan kehadiran YB Larry Sng kerana beliau merupakan Ahli Parlimen kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Razeef juga menolak kritikan pemimpin NGO Hisbah Centre for Reform, Mohamad Ezam Mohd Nor yang menyifatkan lawatan itu sebagai perlanggaran etika kewangan negara dan mewajarkan Wan Azizah disiasat.
“Ezam yang turut mendesak Wan Azizah disiasat kerana didakwa melakukan kesalahan penyalahgunaan kuasa dan sumber kewangan negara atas alasan memberikan peruntukan RM100,000 kepada Julau adalah sangat tidak berasas kerana beliau tidak bertanding pada pemilihan kali ini dan dakwaan seolah beliau cuba membeli undi sangat tidak masuk akal.
“Saya melihat kedua mereka ini ada kesepakatan cuba menjatuhkan kreadibiliti Timbalan Perdana Menteri dan menunjukkan betapa terdesaknya mereka untuk membidas Timbalan Perdana Menteri.
“Mereka patut berasa malu dan tidak perlu mencampuri urusan TPM yang membuat lawatan ke Sibu.
“Saya juga ingin bertanya kepada Latheefa dan Ezam mengapa mereka tidak mempersoalkan lawatan Azmin Ali ke Sarawak menggunakan jentera kerajaan ketika ini, sedangkan beliau merupakan calon Timbalan Presiden Keadilan dan pemilihan peringkat negeri Sarawak akan berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad ini,” katanya.