PRK PD: Kawasan Melayu tentukan majoriti Anwar
Walaupun majoriti pengundi Port Dickson sudah memihak kepada Anwar Ibrahim, kelompok pengundi Melayu tetap akan menentukan sama ada calon Pakatan Harapan (PH) itu akan menang bergaya, atau tidak.
Tinjauan awal menyebut, pengundi India penentu kemenangan kerana Anwar hanya perlu mengubah sekitar 20% saja daripada kira-kira 17,000 pengundi daripada masyarakat itu untuk menang.
Namun Anwar bukan sekadar perlu menang. Beliau perlu mendapat majoriti besar dan meraih sokongan orang Melayu, sesuai dengan rancangannya sebagai bakal perdana menteri.
Ketua jentera PH, Aminuddin Harun menjangka antara 15 hingga 20% pemilih di kawasan yang dikuasai Umno ini akan mengalih sokongan kepada PH pada kali ini.
“Dengan keadaan negara dan negeri yang berada di PH, saya memang nampak ada sokongan Melayu kepada PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau menjangka Anwar juga akan mendapat sedikit untung daripada penyokong Umno yang tidak keluar mengundi kerana mengikut pendirian parti – memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
“Tapi jumlah itu kecil saja,” kata menteri besar Negeri Sembilan itu.
Pemerhati lain pula menganggarkan sehingga 40% orang Umno tidak akan keluar mengundi kali ini di Linggi dan Bagan Pinang.
Ada yang menganggarkan, pencabar terdekat Anwar, Isa Samad hanya akan mendapat sekitar 30% daripada undi di Linggi dan sekitar 25% saja di Bagan Pinang.
Anwar menumpukan Bagan Pinang dan Linggi di peringkat akhir kempen untuk menembusi kawasan dipengaruhi Umno dan bekas menteri besar itu.
Sebab itulah dalam pertemuan dengan pengundi di kawasan ini, Anwar dan para pemimpin PH sentiasa berpesan supaya pengundi mengingati masalah yang ditinggalkan Isa dalam Felda.
“Sepatutnya Tan Sri Isa tak mampu panggung kepala atas apa yang dibuat ke atas Felda,” kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dalam satu ceramah bersama Anwar di Bagan Pinang pada malam Rabu.
Beliau berkata masalah kewangan Felda malah menyebabkan agensi itu tidak dapat menghapuskan hutang ditanggung 112,000 keluarga peneroka seperti dijanjikan PH.
Isa bagaimanapun tetap bertegas beliau tidak bersalah dalam skandal Felda kerana semua siasatan tersebut tidak menyebabkan beliau didakwa di mahkamah.
“(Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tak ada ambil tindakan apa-apa pada saya. Saya punya pasport pun tak diambil. Akaun saya pun tak dibeku,” katanya ketika ditemui.
Isa juga menangkis kenyataan bekas rakan seperjuangannya, Rais Yatim yang mendakwa beliau tidak melakukan apa-apa pembangunan di Port Dickson semasa menjadi menteri besar.
Katanya, beliau lebih banyak menyumbang pembangunan di Port Dickson ketika menjadi menteri besar selama 22 tahun berbanding Rais yang hanya menjadi menteri besar selama tiga tahun empat bulan.
Tinjauan di kalangan pengundi yang ditemui The Malaysian Insight di kawasan ini bagaimanapun mendapati banyak penolakan ke atas Isa.
Seorang ahli Umno yang ditemui di Linggi berkata beliau sudah tidak minat sama sekali dengan politik dan menyertai proses pilihan raya kerana Barisan Nasional sudah berpecah.
“Masa PRU14 saya undi, tapi sekarang silap-silap saya pun tak pergi mengundi. Baik siapa menang pun sama saja bagi saya.”
Bekas pemimpin Pemuda Umno bahagian berusia 53 tahun itu kecewa kerana menurutnya Isa hanya akan mendekati penduduk untuk mendapatkan sokongan tetapi kemudian akan mengabaikan mereka.
“Apa ada di Linggi selepas 22 tahun dia jadi menteri besar? Dulu kita minta dia bina universiti di sini, tapi habuk pun tak ada.
“Orang kampung saya ada yang sibuk hendak undi Tan Sri Isa. Kata saya, tak payahlah,” kata pengundi di Kampung Permatang Pasir itu, yang kini bekerja sendiri.
Pemilih yang masih menyokong Isa didapati terdiri daripada individu yang pernah mendapat bantuan daripada Umno dan juga bantuan terus daripada bekas menteri besar tersebut.
Salah seorangnya, Rosli Saaid, 61, yang berkata beliau hanya akan mengundi Anwar sekiranya PH memberi wang kepadanya.
“Kalau dia beri RM1,000, saya akan undi Anwar,” katanya yang berang kerana kerajaan PH memansuhkan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia.
Bekas kakitangan am di sebuah taska di Linggi itu marah dengan tindakan tersebut kerana itulah satu-satunya sumber untuk menampung perbelanjaan keluarganya semasa tidak dapat menoreh.
Katanya, beliau hanya mendapat separuh daripada bayaran sekitar RM2 untuk setiap kilogram getah sekerap kerana beliau menoreh di kebun-kebun kecil milik orang lain.
“Dengan RM1 sekilogram, macam mana saya mahu beli beras?” katanya sambil menghentak meja ketika ditemui di sebuah kedai kopi di Linggi.
Seorang lagi pengundi Linggi, Param, 55, berkata beliau percaya ramai akan mengundi Anwar dalam PRK kali ini.
Beliau yang bekerja di Bagan Pinang berkata, pengundi Linggi semakin dapat melihat bahawa kerajaan sebelum ini banyak dibelit skandal dan akan memilih Anwar sebagai tanda perubahan.
“Sekarang orang sudah makin buka mata selepas pilihan raya umum (9 Mei). Mereka boleh lihat apa masalah sebenarnya yang berlaku sebelum ini.
“Orang Umno pun makin tak ada. Tengok sana, pejabat Umno pun sudah tutup,” kata chef itu lagi ketika ditemui di Pekan Linggi.
Isa tetap bertanding kali ini sebagai calon Bebas atas keyakinannya untuk meraih sokongan masyarakat Melayu di situ selepas Umno memutuskan untuk tidak meletakkan calon.
Beliau juga banyak bergerak dengan menggunakan rangkaian dan jentera parti namun ada di kalangan ketua cawangan yang membantu Isa tidak mahu diketahui terlibat dengan kempen itu.
Seorang lagi pengundi tempatan, Pak Dol, 59, berpendapat golongan yang masih menyokong Isa terdiri daripada golongan lebih berusia, terutama di kawasan Pekan Linggi, Tampin Linggi dan Tanjung Agas.
“Tapi penyokong yang memang totok dengan Umno tidak akan sokong Isa sebab rasa dia curang pada perjuangan. Itulah yang saya dapat kesan daripada orang yang bercakap di kedai saya,” kata peniaga tersebut.
The Malaysian Insight seterusnya menemui seorang lagi pengundi di Tanjung Agas. Pada usia 85 tahun, bekas pekerja Jabatan Kerja Raya mungkin merupakan pengundi tertua di kawasan itu.
Ketika ditanya Pak Aman berkata beliau berpendapat Anwar boleh menjadi perdana menteri yang baik.
“Boleh. Tengok muka pun kita tahu orang baik. Cuma jangan dia menyerong pula nanti,” katanya.
Pemimpin tinggi Umno bahagian menyokong calon Pas dan membantu kempen PAS di Bagan Pinang dan Linggi.
PRK ini diadakan untuk membolehkan Anwar menyertai Parlimen semula selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, dan seterusnya menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir Mohamad.
Tiga lagi calon Bebas adalah selebriti media sosial Stevie Chan, perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah Lau Seck Yan