Penjawat awam era BN dibayar RM260k sebulan
Anwar Ibrahim mendakwa penjawat awam kanan ketika zaman Barisan Nasional (BN) dulu biasanya memperoleh suku juta ringgit setiap bulan.
Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson itu berkata ketua setiausaha perbendaharaan pun dapat RM260,000, begitulah tahap rasuah dalam pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.
“Ada kakitangan awam dapat RM250,000 sebulan. Ketua setiausaha perbendaharaan pun dapat RM260,000 sebulan,” katanya di hadapan khalayak pada program ceramah di Lukut, Port Dickson, malam tadi.
Anwar mungkin merujuk kepada ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah yang meletak jawatan selepas BN kalah pada pilihan raya umum, Mei lalu.
Bakal presiden PKR itu berkata kebanyakan penjawat awam hanya mendapat sedikit kenaikan gaji setiap tahun, tetapi pegawai atasan biasanya mendapat berjuta ringgit.
“Kakitangan lain cuma dapat kenaikan RM40 setahun, tetapi mereka yang itu dapat sehingga RM250,000,” kata Anwar.
Anwar berkata itu sebabnya beliau dan perdana menteri pada masa ini Dr Mahathir Mohamad berpadu tenaga untuk menewaskan kerajaan BN pada PRU14.
“Itu sebabnya Dr Mahathir dan saya bergabung. Beliau dan saya mahu perbaiki keadaan. Kami bersatu kerana negara ini dimusnahkan,” katanya.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata bantuan kepada rakyat Malaysia perlu diberikan bukan berdasarkan kepada kaum, yang diamalkan sebelum ini.
“Majoriti Melayu dan Bumiputera masih merana. Apa salahnya membantu Melayu yang miskin?
“Jika Cina miskin, bila kita tolong, adakah kita salah? India di estet, bila kita tolong, salahkah?,” soal Anwar.
Anwar, 71, menentang enam lagi calon di Port Dickson termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, veteran tentera udara Mohd Nazari Mokhtar yang mewakili PAS dan empat lagi calon bebas termasuk bekas pegawai khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan.
Anwar pada masa sama mengulangi bahawa beliau akan membangunkan Port Dickson dan mengembalikan pelancongan di bandar tepi pantai itu.
Anwar mendakwa pada pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong baru-baru ini, beliau memberitahu mendiang bapanya, Lee Kuan Yew sering membawanya ke Port Dickson untuk bercuti ketika mereka masih kecil.