Peguam Negara bantah saman lucut kelayakan Anwar
Pejabat Peguam Negara hari ini membuat bantahan awal terhadap saman difailkan oleh seorang pengundi berdaftar Port Dickson yang mencabar kelayakan Anwar Ibrahim sebagai calon dalam pilihan raya kecil Sabtu ini.
Menurut laporan Malaysiakini, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan berkata pengundi tersebut, Noraziah Mohd Shariff, sepatutnya memfailkan samannya dengan Mahkamah Pilihan Raya, bukan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ini kerana Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar petisyen Noraziah untuk mencabar Anwar dan Lembaga Pengampunan.
Noraziah memfailkan saman pemula itu atas dasar bahawa pengampunan diraja ke atas Anwar tidak melayakkan bakal presiden PKR itu bertanding dalam pilihan raya.
Semalam, Anwar memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Azizah Nawawi hari ini menetapkan 8 November bagi pendengaran bantahan awal Pejabat Peguam Negara dan permohonan mengenepikan saman oleh Anwar.
Terdahulu hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata Anwar layak untuk bertanding dan saman terhadapnya adalah satu perkara berasingan