Manifesto PRU: ‘Ambil kira situasi semasa’ – Anwar
Anggota parlimen Port Dikcson yang baru, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau percaya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) telah berusaha menangani pelbagai masalah berhubung pembaharuan institusi.
Anwar berkata demikian ketika HARAPAN kini sedang dikritik berhubung berhubung beberapa janji dalam manifesto pilihan raya yang dilihat tidak dapat ditunaikan.
Jelas Anwar, manifesto HARAPAN didraf dengan pertimbangan mendalam meskipun beberapa janji yang dimasukkan pernah dibuat di era Pakatan Rakyat.
“Kita sudah pertimbangkan kebanyakan isu-isu ini dan bincangkan dengan terperinci.
“Saya turut membantu ketika saya berada di dalam penjara,” kata Anwar ketika diminta mengulas berhubung kritikan terhadap kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju dengan penghapusan tol.
“Realiti menuntut kita melihat semula dan mengambil kira situasi semasa,” katanya.
Presiden PKR itu juga berkata adalah “tidak tepat” apabila mengatakan rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan kerana mereka boleh melihat perkembangan yang telah dilakukan dalam perkara lain yang disentuh dalam manifesto HARAPAN.
“Apa isu-isu utama? Isu tadbir urus, isu antirasuah, penyalahgunaan kuasa.
“Itu bagi saya adalah isu-isu yang kerajaan perlu tegakkan,” katanya.
Diminta mengulas tentang pembentangan belanjawan pertama HARAPAN, Anwar mengakui cabaran yang dihadapi Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam situasi ekonomi ketika ini.
“Sudah tentu dia (Lim) prihatin dengan kebimbangan rakyat, dan itu yang paling penting bagi saya.
“Saya sudah dengar perbincangannya, bagaimana dia beri perhatian sepenuhnya tentang kebimbangan-kebimbangan itu, masalah ekonomi yang dihadapi rakyat,” katanya.
Pada masa yang sama, tambah Anwar, Lim dan kerajaan perlu berdepan dengan situasi dan kekangan ekonomi semasa dalam mendraf Belanjawan 2019.
Lim sebelum ini memberi gambaran bahawa kerajaan akan berdepan cabaran besar dalam mendraf Belanjawan 2019 kerana kini sedang cuba menangani kekangan kewangan.