Anwar bangga sokongan semua kaum, tawan kubu Umno
Ketua umum PKR Anwar Ibrahim amat berpuas hati dengan majoriti besar yang diperolehinya dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson serta sokongan dari semua kaum.
Beliau juga gembira kerana meraih majoriti dari kawasan Melayu – Linggi dan Bagan Pinang dengan undi besar.
“Undi Melayu dan kawasan majoriti Melayu yang kalah tipis dapat kita tawan dengan majoriti besar,” katanya dalam sidang media selepas diumumkan menang PRK itu.
Ditanya sekiranya beliau mendapat undi daripada penyokong Umno, Anwar berkata beliau tidak tahu sekiranya pengundi tersebut adalah ahli Umno.
Namun, pengundi berkenaan tentunya memilih calon Barisan Nasional (BN) sebelum ini, katanya.
Katanya, keputusan hari ini amat meyakinkan kerana undi popular mencecah 70%, lebih tinggi berbanding 48% yang diperolehi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Undi tentera yang sebelum ini tidak banyak memihak juga kali ini juga beralih kepada PH, dengan peningkatan 120%, katanya
“Ini adalah penanda penting yang memberikan keyakinan kepada PH dan agenda reformasi,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dan juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang turut berkempen untuknya walaupun uzur.
Anwar yang akan mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Parlimen Isnin ini turut menyatakan penghargaan kepada PKR, DAP dan Amanah atas kerja keras sepanjang kempen.
Sebagai ahli Parlimen, beliau akan menumpukan usaha untuk membantu pemimpin serta ahli Dewan bagi menjalankan reformasi yang efektif.
Dalam ucapan kepada lebih 1,000 penyokongnya selepas itu, Anwar berkata beliau berasa bangga kerana sokongan dari semua kaum menunjukkan rakyat memilih iuntuk mengubah landskap politik negara.
Katanya, harapan baharu akan timbul jika rakyat percaya pemimpin daripada semua kaum dapat menjamin masa depan anak-anak mereka.
“Saya sayang semua orang Port Dickson. Saya tidak mahu bercakap sebagai calon, atau sebagai ahli Parlimen, tetapi sebagai ahli keluarga Port Dickson,” katanya lagi.
Beliau memberi jaminan untuk menjaga Port Dickson dan berkata satu hospital khas akan dibina dan akan turut serta mengutip sampah bagi membersihkan kawasan peranginan itu.
Katanya, beliau akan memastikan kawasan diwakilinya itu ditadbir oleh pemimpin yang tidak rasuah.
“Sejarah baharu bermula di Port Dickson,” katanya lagi.
Tambahnya, pilihan raya ini juga bersejarah kerana beliau menang tanpa memberi apa-apa habuan kepada pengundi.
“Sebelum ini menteri besar sering memberi tanah semasa kempen pilihan raya, tetapi ini kali pertama tiada hadiah diberikan kepada pengundi, tetapi rakyat pilih PH,” katanya.
Beliau menang mudah kerusi Port Dickson dan menewaskan enam lagi calon lain dengan memperoleh 23,560 undi majoriti.
Anwar memperolehi sejumlah 31,016 undi, diikuti calon PAS Mohd Nazari Mokhtar yang menerima 7,456 undi. Kesemua lima calon Bebas lain hilang deposit.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohd Isa Samad hanya menerima 4, 230 undi, manakala Stevie Chan (337 undi), Lau Seck Yan (214) dan Kan Chee Yuen (154).
Pengadu dalam kes Liwat II, Saiful Bukhari Azlan tercorot dengan 82 undi, manakala 598 undi ditolak. –