PRK PD: Pembangkang tak perlu letak calon – Penganalisis
Penganalisis berpendapat pembangkang tidak perlu meletakkan calon dan bertanding pada kerusi Parlimen Port Dickson yang dikosongkan hari ini oleh penyandangnya kerana berdasarkan iklim politik semasa mereka mustahil untuk memenanginya.
Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata sebaliknya parti pembangkang sewajarnya menumpukan kepada usaha memperkukuhkan parti masing-masing.
Beliau menyifatkan keputusan meletakkan calon menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak akan memberikan impak yang besar walaupun meletakkan calon heavyweight di kerusi itu.
Katanya, pendirian itu dibuat berdasarkan pemerhatian beliau pada peratusan keluar mengundi tiga pilihan raya kecil (PRK) lepas yang mengambarkan rakyat masih mengharapkan janji yang dibuat ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
“Jika keputusan untuk tidak bertanding dibuat, ini bukan bermakna tidak menghormati demokrasi kerana mereka (Umno) pernah lakukan dalam PRK Parlimen Gelugor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka dahulu,” katanya.
Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini mengumumkan pengosongan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar, dalam usaha HARAPAN mengangkat beliau sebagai perdana menteri kelapan.
Namun begitu bagi Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar adalah lebih baik parti pembangkang meletakkan calon bagi memberikan kenyataan politik walaupun jangkaannya Anwar akan menang selesa.
“Kalau diikutkan PRK DUN Seri Setia misalnya kerjasama Umno dan PAS berjaya meningkatkan jumlah undi sokongan kepada pembangkang dan walaupun tidak menang ia akan memperlihatkan sesuatu, berjaya kurangkan majoriti.
“Jadi, tidak semestinya automatik keputusan tiga PRK lepas memihak kepada HARAPAN dan pembangkang mengambil keputusan tidak mencuba walaupun nama yang bertanding itu Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Mengenai sama ada keputusan pembangkang meletakkan calon tempatan sebagaimana cadangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, Tunku Mohar berkata ia bukan isu yang penting kerana ini melibat pertandingan seseorang yang mempunyai nama besar dalam politik.
Sementara itu anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata keputusan Anwar bertanding sebagai sesuatu yang tepat bagi Ketua Umum PKR itu untuk membina semula karier politik yang diperjuangkan sejak mula terjun ke dunia politik sekitar tahun 1982 bersama Umno.
“Tindakan dan keputusan ini merupakan hak beliau kerana umum mengetahui sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jawatan ketua negara itu akan diserahkan kepada Anwar dalam tempoh masa dua tahun pentadbiran HARAPAN.
“Umno akan memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon yang akan bertanding di parlimen itu, sudah tentu kita tidak akan biarkan HARAPAN menang kali ini,” katanya.
Senada dengan Fathul Bari, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata langkah berani tersebut membuktikan Anwar juga mahu mengembalikan kewibawaan beliau selain mengukuhkan kedudukannya dalam PKR.
“Jika Anwar menang pada PRK tersebut, ia melicinkan perancangan beliau untuk dilantik sebagai perdana menteri,” katanya.
Bagaimanapun, bagi Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan bahawa mengadakan pilihan raya dengan cara sengaja melepaskan jawatan yang dipilih rakyat seolah-olah mempersendakan undian rakyat pada PRU14.
Katanya, lebih buruk lagi apabila melibatkan pembaziran wang rakyat untuk mengadakan PRK yang sengaja diadakan ketika rakyat diminta berjimat cermat dan berkorban demi negara.
“Hakikatnya dengan peratusan keluar mengundi yang terlalu rendah dalam sejarah PRK di ketiga-tiga PRK lalu jelas mengisyaratkan bahawa rakyat sudah muak dan jemu dengan fenomena berpolitik dengan tiada perubahan janji kos sara hidup yang diharap menurun selepas perubahan kerajaan,” katanya.
Pada PRU14 lalu, Danyal memenangi kerusi Port Dickson dengan majoriti selesa 17, 710 undi.
Danyal memperoleh 36,225 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional V.S. Mogan (18,515 undi) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594 undi).