BN boikot PRK Port Dickson
BN memutuskan memboikot pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober depan.
“Maka kami mengambil keputusan bahwa BN akan boikot PRK PD.
“Ertinya kita tak akan letakkan calon mewakili BN atau atas nama BN,” kata Pengerusi BN Datuk Seri Zahid Hamidi.
Beliau yang juga presiden Umno berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik di ibu negara sebentar tadi.
Setakat ini hanya parti kecil Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas menyatakan hasrat mencabar Anwar di kerusi itu.
Dengan keputusan BN itu, mata kini tertumpu pada PAS yang presidennya sebelum ini berikrar tidak akan memberi laluan mudah dan kemenangan percuma pada Anwar.
Naib beliau Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini bagaimanapun berpendapat PAS tidak harus terlibat kerana pilihan raya itu “sengaja diada-adakan untuk memenuhi kehendak individu tertentu”.
Kerusi Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktober depan dan hari penamaan calon pada 29 September.
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berpendapat Umno tidak perlu terlibat dalam pilihan raya kecil parlimen Port Dickson.
Ia antaranya bagi menumpukan usaha pemulihan parti dan melakukan kajian mendalam terhadap sokongan terhadapnya di seluruh Malaysia.
Jangan letak calon, bagi Anwar menang – Nik Amar
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pembangkang tidak perlu melayan pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.
“Kalau tanya saya, mungkin kita tidak akan bertanding kerana ia bukan satu keperluan memandangkan PRK Port Dickson sengaja diada-adakan untuk memenuhi kehendak individu tertentu.
“Malah, pemimpin PAS juga tidak berminat dengan kerusi berkenaan.
“Jika BN pun tidak mahu meletakkan calon, kita bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menanglah, ” katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.
Beliau menegaskan ia hanya pandangan peribadinya.
Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, PAS dijangka tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson kerana tidak berminat selain menyifatkan ia satu pembaziran.
“Tetapi keputusan muktamad akan diputuskan menerusi mesyuarat parti.
“Setakat ini kita belum mengadakan perbincangan dan akan diputuskan sebelum hari penamaan,” katanya ketika ditanya jika kemungkinan BN turut tidak meletakkan calon mereka.
Setakat ini hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang bekas pemimpin MIC mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
Umno dijadual hanya akan memutuskan akan masuk gelanggang atau tidak dalam mesyuarat biro politiknya di ibu negara petang ini.
Kerusi Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktover depan dan hari penamaan calon pada 29 September.