PRK Sg Kandis: Zawawi diterima kerana sumbangan kemasyarakatan
Faktor anak tempatan dan sumbangannya kepada masyarakat setempat menjadikan calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni pilihan pengundi di Sungai Kandis menjelang hari mengundi Sabtu ini.
Abdul Razak Nordin, 31, yang merupakan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, Zawawi ialah anak tempatan dan disenangi masyarakat setempat kerana sudah lama berkhidmat untuk mereka.
“Zawawi antara yang orang terawal membuka madrasah di Sungai Kandis.
“Satu kelebihannya ialah dia sudah lama berjuang di Sungai Kandis dan memang disenangi orang di sini,” katanya kepada FMT.
Zawawi ialah pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh di Jalan Kebun dan setiausaha jentera pilihan raya DUN Sungai Kandis serta ketua bilik gerakan utama PKR pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Beliau yang menyertai gerakan Reformasi pada 1998, aktif di peringkat Cabang Kota Raja dan ranting Jalan Kebun, selain merupakan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama serta ahli jawatankuasa Biro Pendidikan PKR Pusat.
Zawawi akan berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K Murthy, Sabtu ini, susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Nor Aizan Ismail berkata, Zawawi membuka sekolah tahfiz dengan dana sendiri tanpa sokongan kerajaan terdahulu.
Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).
Sementara itu, Razak mendakwa Lokman mempunyai kepentingan peribadi.
“Walaupun Lokman asal dari PKR, dia ada kepentingan diri berbanding rakyat. Kalau nak bezakan, orang agama pilih Zawawi.”
Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, 45, berkata beliau memilih Zawawi kerana yakin kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan mampu membawa perubahan kepada negara.
Katanya, kerajaan baru perlu dipertahankan untuk memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan lebih baik.
“Kita beri masa 5 tahun kepada mereka memerintah. Terlalu awal nak adili mereka.
“Bagi saya, walaupun Zawawi masih baru, tapi PKR sudah lama. Jadi, tak ada masalah. Kita nak cuba sesuatu yang baru.”
Nor Aizan Ismail, 40, berharap pengundi di Sungai Kandis menyokong Zawawi berdasarkan sumbangannya kepada kawasan itu selama ini dan ciri kepimpinannya.
“Apa lagi kita nak? Dia membuka sekolah tahfiz dengan dana sendiri tanpa sokongan daripada kerajaan lama (BN).
“Dia dengan kesungguhan dia berusaha bantu masyarakat di sini.”