Pemilihan PKR: Azmin hadapi ujian getir ditentang kem Rafizi
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dijangka menghadapi saingan getir daripada kem penyokong Rafizi Ramli seandainya memutuskan untuk mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti September ini.
Menurut sumber parti, antara isu utama yang perlu dihadapi Azmin adalah tuduhan bahawa pemimpin dalam pasukannya sudah meminggirkan perjuangan reformasi.
Naratif disebarkan oleh kumpulan penyokong Rafizi itu mensasarkan pemimpin kem Azmin yang didakwa tunduk kepada pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad selepas dilantik ke Kabinet, kata sumber.
“Barisan menteri PKR yang dilantik dituduh menghalang perkembangan reformasi dan perjuangan untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Itulah modal yang mereka gunakan untuk memburukkan timbalan presiden (Azmin),” kata sumber itu dengan syarat tidak dinamakan.
Pemerhatian di laman media sosial juga menunjukkan, poster yang tersebar menunjukkan barisan calon jawatan utama yang dipercayai memihak kepada Azmin adalah barisan menteri Kabinet daripada PKR.
Sementara itu, satu sumber PKR Selangor pula berkata penolakan ke atas Azmin itu dapat dilihat dengan apabila melihat begitu ramai hadir ke majlis Ahad lalu apabila Rafizi mengumumkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden, katanya.
“Jika dilihat sambutan terhadap pengumuman Rafizi lawan timbalan presiden, (Azmin), ramai akar umbi pelbagai peringkat turun di ibu negara hari itu. Reformis (veteran) juga bersama untuk dengar apa kata Rafizi.
“Ahli Parlimen dan wakil rakyat di DUN (Selangor) juga sokong Rafizi kerana beliau yang diharapkan untuk bawa agenda reformasi itu. Semangat itu masih ada pada dia,” kata sumber tersebut lagi.
Di Perak, sentimen sama dapat dikesan di kalangan pemimpin akar umbi di situ.
Hinggakan, pemimpin parti yang cenderung menyokong Azmin akan dilabel sebagai golongan yang mementingkan kebendaan, kata seorang setiausaha cabang PKR di negeri itu.
“Siapa yang melihat kebendaan pastinya akan sokong Azmin. Bagi saya, Rafizi akan bawa PKR ke pangkal jalan, dengan semangat reformasi, yang lebih bersih dan jujur.
“Kita mahu angkat Anwar semula, dan hanya Rafizi yang nak laksanakan, bukan Azmin,” kata sumber tersebut.
Walaupun Rafizi sudah mengumumkan untuk merebut jawatan timbalan presiden, Azmin masih berteka-teki sama ada akan mempertahankan kerusinya itu atau menentang Ketua Umum, Anwar Ibrahim bagi merebut kerusi presiden.
Bekas ahli Parlimen Pandan itu sudah mengumumkan bakal calon dalam pasukan 20 Tahun Reformasi bermula daripada timbalan presiden sehingga barisan exco sayap yang menyokongnya.
Selain penyandang Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, turut mengintai jawatan tersebut adalah tiga lagi ahli Parlimen parti tersebut, Johari Abdul (Sungai Petani), William Leong (Selayang) dan S. Kesavan (Sungai Siput).
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh pula akan mencabar jawatan ketua Wanita manakala Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir mengintai jawatan ketua AMK.
Penyandang jawatan ketua AMK yang juga ahli Parlimen Setiawangsa juga dalam pasukan 20 Tahun Reformasi yang mensasarkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Salah seorang calon MPP daripada kem Rafizi, Abdullah Sani merasakan calon pilihannya itu lebih baik kerana Azmin tidak memberikan sumbangan kepada parti sepanjang menjawat jawatan dalam PKR.
“Beliau (Azmin) tidak ada kurang tetapi ada yang lebih baik jadi kita pilih yang lebih baik, penumpuan terhadap parti tidak berlaku dalam posisinya sepanjang memegang jawatan penting dalam kepimpinan parti.
“Sumbangan pada parti pun kita tak nampak, kita juga tidak nampak dia bawa agenda reformasi yang sebenar,” katanya, ketika ditemui di Parlimen.
Azmin semalam menafikan ahli parti itu kini berpecah kepada kem penyokong beliau dan juga penyokong Anwar.
Menteri hal ehwal ekonomi yang dikatakan rapat dengan Dr Mahathir itu menggesa semua pihak agar tidak mendengar dakwaan mengenai perpecahan itu.
“Jangan layan semua cerita-cerita. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berulang kali menyatakan beliau sendiri memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
“Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail telah mengeluarkan kenyataan menyeru semua anggota PKR mesti mendukung kepimpinan Dr Mahathir untuk memimpin kerajaan baru Pakatan Harapan,” katanya.