Kertas putih masalah kewangan Felda akan dibentang – Azmin
Kerajaan akan membentangkan usul Kertas Putih berhubung prestasi kewangan Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) pada persidangan Dewan Rakyat seterusnya pada Oktober, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Kertas putih itu akan mengandungi maklumat masalah kewangan terkini Felda yang berpunca daripada salah urus oleh pentadbiran sebelum ini, katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen hari ini.
Kertas putih merupakan laporan kerajaan yang memberi maklumat terhadap sesuatu isu.
“Felda mengalami masalah aliran wang yang kritikal,” kata Azmin dan menambah Putrajaya akan menjual aset tidak strategik Felda di sini dan luar negara sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula bagi mengatasi masalah “kritikal” pendapatan agensi itu.
Azmin berkata keutamaan bagi lembaga pengarah dan pengurusan baharu adalah untuk membantu menangani masalah isu aliran tunai Felda “menerusi perbincangan dengan penghutang” bagi menstruktur semula hutangnya, yang melebihi RM8.025 bilion.
“Langkah utama kita adalah menjual aset tidak strategik di sini dan di luar negara,” katanya.
Tambahnya, fokus utama Felda adalah bagi mengekalkan kewajipan berkanun kepada peneroka Felda.
“Kerajaan baharu mahu memastikan pinjaman kos sara hidup dan wang pendahuluan akan terus diagihkan pada masanya.
“Situasi kritikal kewangan Felda adalah legasi daripada pentadbiran sebelum ini, yang melemahkan tadbir urus dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan baharu komited untuk membantu Felda secepat mungkin untuk kepentingan peneroka sejajar dengan Akta Pembangunan Tanah,” katanya.