71% rakyat puas hati prestasi Tun Mahathir sebagai PM
Rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad apabila 71% meluahkan rasa puas hati mereka terhadap perdana menteri berusia 93 tahun itu, lapor kajian Merdeka Center.
Bagaimanapun, kajian sama menunjukkan yang populariti Dr Mahathir jatuh kepada 71% berbanding 83% pada Mei lalu.
Kajian Merdeka Center yang berjalan sejak piliihan raya umum Mei lalu menunjukkan populariti Dr Mahathir dan Pakatan Harapan sedikit menurun.
“Ini menunjukkan eurofia yang semakin hilang dan perselisihan yang biasa berlaku apabila jangkaan bertembung realiti. Walaupun begitu, angka semasa yang positif merupakan asas kepuasan hati umum yang ditunjukkan pengundi berkaitan prestasi kerajaan baharu,” kata pusat kajian itu dalam kenyataan medianya.
Berbanding Dr Mahathir, populariti bekas perdana menteri Najib Razak pada Mei (sebelum pilihan raya) adalah sekitar 57%.
Dr Mahathir menerima sokongan terbesar daripada kaum India (93%), Cina (83%) dan Bumiputera Bukan Islam (75%).
Popularitinya dalam kalangan orang Melayu adalah 64% manakala dalam kalangan Bumiputera Islam adalah 62%.
Walaupun beliau mengecam penjawat awam, Dr Mahathir menerima rating tertinggi daripada kumpulan itu iaitu sebanyak 81% berbanding hanya 59% daripada kelompok kerja sendiri dan usahawan.
Berdasarkan usia pengundi pula, popularity Dr Mahathir paling tinggi dalam kumpulan pengundi berusia 60 tahun ke atas (76%) dan bawah usia 40 tahun (72%).
Kajian Merdeka Center dijalankan antara 7 hingga 14 Ogos tahun ini dengan penglibatan 1,160 responden di 222 kawasan Parlimen.