Tutup tahfiz: Lebih baik cadang tutup pusat maksiat – Armada Penang
Armada Bersatu Pulau Pinang membantah cadangan bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin supaya operasi sekolah tahfiz di seluruh negara dihentikan.
Ketuanya, Muhammad Shameer Mohamed Sulaiman berkata, tindakan itu jelas keterlaluan dan tidak wajar dicadangkan oleh seorang individu yang beragama Islam.
Beliau berkata, sepatutnya pusat-pusat hiburan dan maksiat yang terlalu banyak perlu ditutup di seluruh negara kerana boleh memudaratkan generasi muda.
“Cadangan supaya sekolah tahfiz ditutup bukanlah satu idea yang bijak. Sepatutnya pusat-pusat hiburan, judi dan maksiat yang semakin banyak perlu ditutup.
“Benda ini tak ada faedah langsung dan lebih memberi mudarat kepada generasi muda. Ia harus ditutup bagi mengelak lebih ramai terjerumus kepada aktiviti tidak sihat,” katanya.
Menurutnya, usaha murni bagi memartabatkan institusi agama Islam seharusnya disokong oleh semua pihak.
“Kenapa perlu tutup sekolah tahfiz? Sedangkan ia terbukti dapat mendidik dan membentuk peribadi manusia menjadi insan yang mengamalkan sunah Nabi, beradab, bertanggungjawab dan berbudi.
“Masyarakat yang beranggapan sekolah tahfiz akan menyebabkan generasi muda mundur pada masa hadapan adalah tidak benar sama sekali.
“Sekolah tahfiz di Malaysia sekarang bukan macam dulu lagi. Sekolah tahfiz sekarang ada kemahiran, akademik dan boleh ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Muhammad Shameer berkata, Zainuddin sepatutnya mencadangkan supaya penambahbaikan dari segi infrastruktur, keselesaan dan silibus pembelajaran sekolah tahfiz di seluruh negara.
“Mungkin boleh diwujudkan sistem yang lebih teratur dan moden supaya sekolah tahfiz dilihat dapat membanggakan ummah sealiran dengan kemajuan teknologi serta mengikut peredaran semasa agar nampak lebih relevan pada masa kini,” katanya.