PRK Sungai Kandis: Amaran Nik Aziz jadi kenyataan
ULASAN: Akibat dasar baru Budaya Politik Matang Sejahtera Pas tanpa sedar atau memang sudah tahu kesannya berjinak-jinak dengan Umno. Kesan kerjasama Pas – Umno ini semakin tampak di mana sahaja.
Apa yang sedang berlaku sekarang adalah cubaan pimpinan Pas hendak menyesuaikan diri dalam 2 blok pembangkang.
Pas sepatutnya menjadi pembangkang kepada 2 gabungan iaitu Pakatan Harapan dan BN tetapi realitinya sejak Umno terpaksa jadi pembangkang maka Pas seolah-olah hilang jati diri, walaupun mempunyai 18 kerusi banding Umno sebanyak 52 kerusi.
Pas sokong Umno
Dengan takdir Allah, seorang Adun di Selangor yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Azmin Ali telah kembali ke rahmatullah. Maka terpaksalah SPR mengadakan satu PRK di Dun Sungai Kandis.
Congak dan kaji maka Pas mengumumkan tidak akan meletakkan calon di Sungai Kandis seperti mana di PRK Dun Batu Talam, Raub satu masa dahulu.
Akibatnya pengundi Pas dalam Dun tersebut tidak dapat menentukan sikap dan undi kepada parti mana sama ada PH yang di wakili PKR atau kepada BN melalui Umno
Maka keluarlah pelbagai kenyataan pengundi Pas diseru mengundi Umno. Pengundi Pas dianggarkan lebih 7000 orang berdasarkan perolehan calon parti itu dalam PRU 14 lalu.
Kemenangan pembangkang
Bagi Pas dan mungkin jugak BN kemenangan pembangkang tidak akan merubah apa-apa pun senario politik di Selangor dan Malaysia tetapi akan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan PH di Selangor.
Bagaimanapun majoriti yang besar pada PRU14 lalu di Dun Sungai Kandis menyebabkan BN sukar mendapat tempat di hati pengundi walaupun pengundi Pas bergabung dengan Umno.
Peribadi calon BN, Lokman Adam sangat tidak disukai oleh penyokong Pas dan apabila Pas mengarahkan pengundinya beralih kepada Lokman maka ianya dipersoalkan pelbagai pihak.
Tetapi jika keputusan undi yang bakal BN terima nanti tidak memuaskan maka ini bermakna pengundi Pas tidak mengundi BN, mereka mengundi PH. Maka akan berakhirlah mimpi penyatuan politik Pas – Umno.
Apa pun Sungai Kandis menyaksikan berlakunya perkara paling ditakuti pemimpin ulung Pas Nik Aziz Nik Mat dan Ustaz Fadzil Noor, iaitu persekongkolan bersama Umno yang selama ini penuh dengan pengkhianatan terhadap perjuangan Islam dan Pas.