NAJIB MINTA BANTUA CIA JIKA BN MENANG TIPIS

Lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang disebut sebagai unit risikan telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel.
Surat tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memenangi pilihan raya dengan hanya undi secukupnya untuk membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, surat itu meminta AS menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.
Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) mendakwa tidak tahu mengenai surat tersebut dan berkata risikan sepatutnya memastikan keselamatan negara dan bukan mengenai soal pilihan raya.
"Saya tidak fikir risikan harus terbabit dalam usaha memenangi pilihan raya.
"Perisikan tidak sepatutnya melakukan apa-apa dalam pilihan raya. Pilihan raya adalah mengenai kehendak rakyat, pilihan raya adalah mengenai demokrasi,"kata Saifuddin.
Surat dialamatkan kepada pengarah CIA yang dilantik pada akhir Mei di bawah pentadbiran Donald Trump itu turut menyentuh mengenai Mahathir bekerjasama dengan pembangkang.
"Tuan mesti dimaklumkan dengan baik bahawa Mahathir, pada dasarnya bukanlah seorang tokoh pembaharuan yang dapat meningkatkan kepentingan negara kerana beliau menyertai pembangkang untuk kepentingan diri sendiri.
'Mahathir anti-barat, Najib pro-AS'
Surat itu turut menyebut Mahathir yang berusia 93 tahun pada masa lalu merupakan seorang yang "anti-Barat, anti semitik, kuku besi dan mendiamkan kritikan melalui kekerasan, tidak mempedulikan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. "
"Sepanjang tempohnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri disalahgunakan untuk agenda politiknya sendiri dan membenarkan beliau memerintah Malaysia selama lebih dua dekad," katanya.
Najib berkata, agensi kerajaan, termasuk yang berkaitan dengan hal ehwal risikan, mempunyai kuasa autonomi untuk menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan pertimbangan sendiri.
Menurut Najib pula , “Sementara saya tidak ada peluang untuk lihat surat itu, apa yang dilaporkan media mencadangkan surat bagi mendapatkan sokongan berterusan AS untuk kerajaan Malaysia jika BN menang dalam pilihan raya bagi tujuan kestabilan selepas pilihan raya.
“Apa yang dilaporkan surat itu tidak dilihat mendapatkan bantuan AS untuk menang pilihan raya – tetapi selepas pilihan raya,” katanya.
Najib berkata surat itu mungkin dihantar dengan niat memelihara kestabilan kerajaan selepas kerajaan jika terdapat kemenangan tipis.
“Mungkin media dapat mendedahkan keseluruhan surat itu supaya orang ramai, termasuk saya, lebih faham,” tambahnya.
Setelah melihat tiga halaman surat bertarikh 4 Mei kepada pengarah CIA ketika itu Gina Haspel, Malaysiakini sebentar tadi melaporkan surat itu meminta dukungan AS terhadap pentadbiran Najib jika BN menang mudah atau hanya menang satu kerusi.


sumber mkini