‘Najib jangan berlakon mangsa pendakwaan politik’
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak perlu berhenti ‘berlakon seolah-olah’ menjadi mangsa’ dalam perbicaraan kes SRC International, kata Anggota Majlis Tertinggi PKR, Latheefa Koya.
“Hello Najib, ini bukan seperti zaman kamu dulu yang mana kamu boleh pilih Peguam Negara (AG) yang akan membersihkan kamu.
“Hentikanlah berlakon seolah-olah menjadi mangsa,” katanya pada hantaran Twitter bagi mengulas akuan bersumpah yang difailkan Najib terhadap Peguam Negara Tommy Thomas.
Najib dalam samannya terhadap Thomas memetik artikel yang ditulis AG, terbit di Malaysiakini dua tahun lalu sebagai sebab beliau percaya Thomas akan bersikap prejudis jika terus mengetuai pendakwaan terhadap kes rasuah bekas perdana menteri itu.
Najib berkata artikel berjudul “Grand Larceny in 1MDB” itu merumuskan wang telah masuk ke akaunnya.
“Pendirian Thomas jelas tidak menyukai saya dalam artikel itu dan melahirkan kebimbangan kepada saya Thomas tetap akan mencari jalan mengenakan satu pertuduhan ke atas saya dengan apa alasan sekalipun,” kata Najib.
Ketika dihubungi, Latheefa bagaimanapun memaklumkan tindakan Thomas mengetuai pendakwaan dalam kes ini tidak akan memberi kata putus penghakiman dan oleh demikian isu prejudis yang didakwa Najib tidak wujud.
“Keadaannya bukanlah AG akan memutuskan Najib bersalah atau tidak. Beliau (Thomas) masih perlu mengemukakan kesemua bukti, menunjukkan dokumen (dalam mahkamah) dan lain-lain lagi.
“Najib kata AG tidak suka dia. Tapi isu sama ada AG suka dia atau tidak tidak timbul dalam kes ini,” peguam pengasas NGO Lawyers For Liberty itu memberitahu Malaysiakini.
Najib melalui peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga memohon Thomas diketepikan daripada mengetuai pasukan pendakwaan terhadapnya.
Pada Jumaat lalu dilaporkan Najib memfailkan tiga saman berasingan terhadap Thomas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit AMan Datuk Amar Singh.
Saman berkenaan difailkan pada 30 Jun lalu.