BILA LAGI PAS SEBAGAI ADIK NAK TURUN BERKEMPEN BANTU ABANGNYA UMNO?



Pas, melalui kenyataan yang dilaungkan oleh Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata, parti itu tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Sungai Kandis, 4 Ogos depan ialah dengan tujuan agar calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan dapat ditewaskan.

Kata  beliau, calon Pakatan Harapan mesti dikalahkan di Sungai Kandis agar dapat menjadi suatu isyarat bahawa rakyat tidak mahu terus dipermainkan dengan kegagalan mereka dalam menunaikan janji pilihanraya.

Sejak gembar-gembur mahu jadi kuasa ketiga atau kingmaker, ini adalah kali pertama Pas bertindak tidak menyertai pilihanraya, sebaliknya sedia memberi laluan kepada UMNO meletakkan calonnya.

Berikutan itu, calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan,  Zawawi Mughni akan berdepan calon BN, Lokman Nor Adam dan seorang calon Bebas, K Murthy.

Dalam PRU14 lalu, Sungai Kandis dimenangi oleh Shuhaimi Shafie yang memperolehi 23,998 undi menewaskan calon BN, Kamaruzzaman Johari (11,518 undi) dan calon Pas, Mohd Yusof (7,573 undi) serta calon PRM, Hanafiah Husin (76 undi).

Jika benar Pas mahu melihat calon PKR dapat dikalahkan, pemimpin-pemimpin parti itu tidak harus hanya berkokok dengan membuat kenyataan media sahaja, sebaliknya mesti turun berkempen membantu BN dengan segala "kekuatan lutut dan siku" yang mereka milikinya.

Harus diingat, PKR menang dengan undi yang agak selesa, tambahan lagi calon yang parti letakkan juga jauh lebih berwibawa berbanding calon BN yang terkenal dengan sifat rasis dan aksi tak keruannya di jalanan.

Maka, kiranya Pas benar-benar mahu melihat calon PKR tewas, parti itu bukan saja kena melipat-gandakan usaha, malah wajib turun padang berkempen dengan segera, tidak saja dengan ceramah, malah lebih terpuji jika pemuda-pemuda Pas dapat sama-sama menggantung atau menampal poster serta bendera BN bersama dengan pasukan gerak gempur UMNO.

Soalnya, bila lagi Pas nak berkempen bersama-sama dengan UMNO sebagai adik-beradik untuk menewaskan Pakahan Harapan?

Apa tunggu lagi?

Lebih daripada itu, ketika penamaan calon semalam, pemimpin Pas juga tidak kelihatan bersama para pemimpin UMNO mengiringi calon BN.

Kenapa tidak menghadirkan diri?

Kalau betul-betul Pas mahu melihat tewasnya calon PKR, parti itu mesti bekerja keras dengan setidak-tidaknya memastikan 7,573 undi kepada parti itu pada 9 Julai lalu dapat dialihkan kepada BN.

Sifir mudahnya, undi BN pada 4 Ogos nanti melalui kerjasama yang sudah diakui wujud antara UMNO dan Pas, kalau pun tidak mampu menang, paling kurang harus melebihi 19,000 undi iaitu 11,518 + 7,573 = 19,091.

Mampukah Pas sebagai adik menolong abangnya UMNO di Sungai Kandis nanti? (ShahbudinHusin 22/07/2018)