Sentuhan emas Anwar: Agong perkenan lantik Tommy Thomas
Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara yang baru, atas nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan, kata pegawai Istana Negara.
Sultan Muhammad V juga memberi perkenan untuk khidmat Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara ditamatkan serta merta, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam titahnya, Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menerima pelantikan tersebut, yang “tidak sepatutnya menimbulkan konflik ke atas kaum dan agama” kerana semua rakyat harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama.
“Pelantikan ini tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan,” kata Wan Ahmad Dahlan, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan melalui Bernama, jam 3.40 pagi ini.
Kenyataan media empat perenggan itu sebelumnya mula beredar di media sosial lebih kurang 2.50 pagi, tidak lama selepas Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong di Kota Bharu, Kelantan.
The Malaysian Insight difahamkan Anwar berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 1.40 pagi tadi.
Dr Mahathir sejak lebih 10 hari lalu mengemukakan nama Thomas namun tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang dilaporkan meminta beberapa nama lain dicadangkan kepada baginda. Dr Mahathir kelmarin bagaimanapun menegaskan hanya ada satu nama saja yang dimajukan oleh Putrajaya.
Susulan kebuntuan itu, Majlis Raja-Raja sepatutnya mengadakan sidang tergempar hari ini untuk mencari penyelesaian isu lantikan peguam negara itu.
Laporan cadangan pelantikan Thomas, seorang peguam kanan dan pakar perlembagaan, juga mendapat reaksi negatif segelintir pihak yang merasakan beliau tidak sesuai memegang jawatan itu atas alasan bukan Melayu dan bukan beragama Islam.
Mereka membantah atas kebimbangan pelantikannya akan menjejaskan hal ehwal menyentuh pentadbiran agama Islam.
Perlembagaan Persekutuan bagaimanapun tidak meletakkan Melayu dan beragama Islam sebagai syarat layak jadi Peguam Negara. Perkara 145(1) cuma menyatakan seseorang yang layak untuk dilantik ke jawatan itu adalah juga layak untuk jadi Hakim Mahkamah Persekutuan.
Kenyataan Istana Negara itu juga menyebut penamatan perkhidmatan Apandi dibuat setelah mengambil kira tiga perkara: pelantikan peguam negara, hak Bumiputera dan peranan Majlis Raja-Raja Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa Melayu dan Bumiputera dilindungi oleh Yang di-Pertuan Agong, dan sebarang pindaan ke atas hak tersebut perlu mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.
Dalam memberikan perkenannya atas pemecatan dan pelantikan peguam negara itu, Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif berhubung isu itu, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.
Sultan Muhammad V bertitah baginda ada kewajipan untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam.
Latar belakang Thomas
Thomas, 66, lulusan undang-undang dari University of Manchester pada 1973 dan diterima masuk sebagai peguam di Middle Temple setahun kemudian. Pada 1976, beliau diterima masuk sebagai peguam di Malaysia dan memulakan kerjaya di firma guaman Skrine & Co. di Kuala Lumpur. Beliau membuka firmanya sendiri pada tahun 2000.
Thomas pernah jadi ahli Majlis Peguam selama 12 tahun termasuk ketika krisis perlembagaan selepas pertembungan antara cabang eksekutif dan kehakiman, semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri sebelum ini. Beliau juga editor Insaf, jurnal terbitan Badan Peguam Malaysia, antara 1985 hingga 1987.
Thomas juga terkenal sebagai peguam bicara yang disegani, mengendalikan beberapa kes tumpuan umum. Antaranya, mewakili kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu dalam kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas dan mewakili bekas menteri besar Selangor Khalid Ibrahim dalam samannya terhadap Bank Islam Malaysia Berhad.
Beliau juga peguam kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, sekarang Menteri Kewangan, dalam pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah dan pembelian sebuah banglo pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Thomas menghasilkan dua buku esei – Anything but the Law, mengenai pilihan raya dan ekonomi, dan Abuse of Power, mengenai undang-undang dan perlembagaan.
Biodata pada buku himpunan eseinya mengenai politik dan ekonomi menyebut beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang urus tadbir korporat.
Dr Mahathir, sejak jadi perdana menteri sekali lagi selepas PRU14, mengetuai usaha kerajaan Pakatan Harapan mahu membetulkan seluruh institusi negara yang terjejas di bawah pentadbiran Najib Razak serta melawan rasuah dan memulihkan ekonomi Malaysia. –