Jho Low akan jadi saksi 1MDB, Najib tertekan?
Nampaknya Low Taek Jho bersedia membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan mereka terhadap penyaluran RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun bank peribadi Najib Razak.
Beberapa jam selepas SPRM mengeluarkan notis bantuan mencari Jho Low dalam siasatan mereka, sumber memberitahu The Malaysian Insight yang peguamnya menghantar e-mel kepada suruhanjaya itu bagi menunjukkan ahli perniagaan berkenaan bersedia bekerjasama dan membantu siasatan.
Tidak jelas sama ada ini bermakna Jho Low akan kembali ke Malaysia atau bertemu dengan penyiasat SPRM di negara luar bidang kuasa.
Namun, kesanggupannya untuk mula bercakap akan menimbulkan ketidakselesaan kepada bekas perdana menteri dan isterinya, Rosmah Mansor.
Kedua-duanya sedang disiasat berhubung pemindahan dana daripada SRC International.
Walaupun SPRM dikatakan sudah mempunyai kes yang kukuh terhadap Najib, keterangan Jho Low pastinya akan menutup kelemahan yang terdapat dalam dalam kes pendakwaan.
Sepanjang tempoh Najib menjadi perdana menteri Malaysia, Jho Low menikmati perlindungan daripada sebarang tindakan penguatkuasaan di negara ini.
Segala kelebihan itu berakhir pada 9 Mei apabila rakan, pelindung dan tempatnya mengadu hilang kuasa.
Semasa Najib menjadi perdana menteri dan semua yang berkuasa di Malaysia, agensi kerajaan tidak mempunyai kesungguhan memburu ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu.
Kertas siasatan berhubung peranannya dalam skandal 1MDB dibuka dan satu kenyataan diambil tetapi tiada pemburuan global dijalankan terhadap Jho Low.
Tiada permintaan untuknya kembali ke tanah air dan membantu siasatan penyelewengan dana daripada entiti milik negara itu.
Malah, apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan kepada dunia mengenai peranan Jho Low, Reza Aziz dan MOF1 dalam penyaluran berbilion ringgit daripada 1MDB, pentadbiran Najib tidak bertindak langsung.